Media sebenar penyebar informasi, bukan fitnah

DI alam realiti sekarang tak wujud lagi media yang benar-benar neutral. Mesti ada sikap berpihak. Kita tak pertikaikan mana-mana media nak berpihak kepada siapa. Apatah lagi kalau mereka guna dana sendiri tanpa melibatkan dana kerajaan.

Advertisement

Silakan The Star nak berpihak kepada MCA. Berita Harian nak berpihak kepada BN. Malaysiakini nak berpihak kepada DAP dan sekutunya. Sinar Harian nak jadi lidah Mahathir and the team. Harakah tentu sekali berpihak kepada PAS!

Silakan nak siar laporan aktiviti, kenyataan media, laporan berita, siaran langsung pelbagai acara, ulasan isu, kutipan dana, pembongkaran, highlight pimpinan dan pelbagai lagi skop kerja media.

Tapi jangan fitnah pihak lain! Bila fitnah ia bermakna kamu telah menceroboh sempadan pihak lain. Akibatnya memang sangat buruk. Orang yang kena fitnah belum tentu terkesan, tapi pemfitnah soheh akan kena tahi atas kepala. Zaman maklumat tanpa sempadan sekarang, tak banyak maklumat yang boleh diputar belit dengan mudah. Dalam masa tak sampai satu jam, kebenaran akan tersebar. Mana pemfitnah nak letak muka? Tukar tajuk dan tukar tajuk lagi?

Ingatlah setiap ketipan jari kita pada papan kekunci ada hitungan dosa dan pahala. Fitnah ibarat kamu cabut bulu ayam milik orang lain lalu kamu lemparkan ke serata tempat. Bila tersedar kamu silap dan tuan punya ayam tuntut supaya kamu kutip setiap helai bulu ayamnya yang telah dicabut, kamu tak akan mampu mengutip kesemuanya semula.

DR AZMAN IBRAHIM 
Pengerusi
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) – HARAKAHDAILY 26/3/2018