Misi Sekampit Beras tiba di Utara S’wak

SIBUTI: Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Sibuti dan Miri serta Dewan Muslimat PAS Kawasan Bintulu dan Miri telah menggerakkan misi ‘Sekampit Beras’ ke bahagian Utara Sarawak.
 
Usaha khusus bagi membantu golongan asnaf menerusi sumbangan utama sekampit beras berserta barangan keperluan asas harian itu telah sampai ke Kampung Ranchah-ranchah, di sini kelmarin.
 
Menjayakan tuntutan diwajibkan ke atas kaum Mukmin itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Jofri Jaraiee dan Ketua Muslimat PAS Sawarak, Juliani Adin serta Yang DiPertua PAS Sibuti, Butir Bakar.
 
Pada majlis ringkas sebelum keberangkatan misi tersebut dari rumah ke rumah, Ustazah Juliani telah menyampaikan taujihat kepada jentera di rumah al-Malak di kampung itu.
 
Jofri pula pada ucapannya menyeru jentera meningkatkan momentum dan komitmen terutama menyampaikan maklumat PAS kepada penduduk.
 
Misi ditaja Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Sarawak itu merupakan usaha dari dana tabungan sumbangan khusus untuk fakir miskin, anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya. HARAKAHDAILY 26/3/2018
Advertisement