PAS sambut baik permohonan maaf Sinar Harian

nasrudin2

LANGKAH akhbar Sinar Harian mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS atas salah lapor pihak wartawannya dari kenyataan sebenar YB Tuan Guru Presiden PAS, sangat dihargai dan dihormati.

Advertisement

2. Tidak dinafikan, betapa laporan yang salah itu telah menjadi fitnah kepada YB Tuan Guru Presiden PAS khasnya dan PAS itu sendiri secara amnya apabila berita itu ditulis sebagai “PAS berkecuali Isu 1MDB”.

3. Realitinya YB Tuan Guru Presiden PAS adalah antara individu yang awal mendesak kerajaan supaya isu 1MDB ini ditangani dengan satu siasatan yang telus dan adil serta mengingatkan kerajaan mengenai kesan ke atas rakyat ekoran isu 1MDB ini.

i – Bermula tanggal 9 Mei 2015, menerusi kenyataan media Presiden PAS, YB Tuan Guru telah mendesak supaya YAB Perdana Menteri memberi penjelasan kepada Ahli Parlimen dan bentang hasil siasatan terperinci terhadap audit kewangan 1MDB, serta melahirkan rasa kecewa apabila kerajaan gagal memberikan penjelasan.

ii – Seterusnya di Kota Bharu tanggal 8 Julai 2015, YB Tuan Guru Presiden menegaskan supaya 1MDB tidak memperjudikan nasib rakyat.

iii – Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK 11) di Tangkak Johor pada 5 September 2015, YB Tuan Guru Presiden sekali lagi mengulas isu 1MDB dan akhirnya merumuskan bahawa pelaksanaan Islam sahaja yang akan mampu menyelesaikan kemelut yang melanda negara termasuk isu 1MDB.

4. Penegasan demi penegasan dari YB Tuan Guru Presiden PAS mengenai pelbagai isu negara termasuk 1MDB terus bergema. Antaranya semasa:

a) Perasmian Himpunan Harapan Semua (HARAP 3.2) di Pulau Serai Dungun pada 18 September 2015.

b) Perbahasan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 26 Oktober 2015.

c) Artikel beliau yang bertajuk Akibat Pisahkan Politik Daripada Agama pada tanggal 9 Mac 2016.

d) Respons media beliau yang disiar oleh Sinar Harian dengan tajuk “PAS Tidak Terpengaruh Dedak UMNO” pada 13 Jun 2016.

e) Termasuklah beberapa siri persoalan dan perbahasan YB Tuan Guru Presiden di Dewan Rakyat sepanjang tahun 2015-2018.

5. Sehubungan dengan itu, PAS mengharapkan agar perkara salah lapor ini tidak lagi berulang di masa hadapan kerana ia bakal mengundang fitnah dan seterusnya menghilangkan rasa hormat serta kepercayaan awam kepada kewibawaan akhbar Sinar  Harian sebagai sebuah akhbar yang meletakkan tag linenya Telus dan Tulus.

6. PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam senantiasa bersikap terbuka dan mesra media. Pihak kami senantiasa ingin memperbaiki dan memperbaharui hubungan baik dengan semua pihak media selama mana media tersebut mematuhi etika kewartawanan yang tinggi dan akhlak pemberitaan yang baik.

7. Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diamalkan oleh PAS senantiasa berdiri di atas pendekatan hujah dan justifikasi. Justeru, tidak ada apa yang perlu disembunyikan. Cuma isunya, media mestilah juga berdiri di atas prinsip bebas dan telus.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
09 Rajab 1439 / 26 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 26/3/2018