Potongan bayaran premium tanah 70 peratus

KOTA BHARU: Biar pun kenaikan kadar premium tanah agak tinggi di Kelantan bermula 2015, namun rakyat boleh membuat rayuan bagi mengurangkan jumlah premium yang terpaksa dibayar.

Advertisement

Malah pada akhir tahun lepas kerajaan negeri memberi potongan sehingga 90 peratus kepada rakyat miskin bagi menjelaskan premium tanah.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kadar premium agak tinggi kerana pemohon dikenakan premium asas dan premium denda.

“Namun rakyat masih lagi berpeluang membuat rayuan bagi mengurangkan jumlah premium sehingga 70 peratus dengan mengisi borang yang boleh didapati di Pejabat Tanah dan Galian.

“Malah kerajaan negeri juga menimbangkan bayaran ansuran sehingga lapan kali bagi rakyat miskin,” katanya ketika menjawab soalan Dato’ Seri Mustapa Mohamed (BN-Air Lanas) pada persidangan Dun hari ini.

Sebelum kenaikan premium berlaku pada 2015, kadar premium tanah di Kelantan paling rendah di negara ini iaitu hanya RM750 bagi satu ekar.
Kenaikan tersebut meliputi tanah yang bertanam getah dan kelapa sawit serta dusun. Bagaimanapun tiada kenaikan bagi tanah lot kediaman, industri atau perniagaan.

Menjawab soalan tambahan Dato’ Ramzi Abdul Rahman (BN-Dabong) katanya, pemohon yang sudah membuat bayaran premium tanah 100 peratus sebelum 2015, namun belum mendapat geran juga berpeluang membuat rayuan.

Mohd Amar berkata, penduduk terlibat boleh membuat rayuan kepada kerajaan negeri bagi mereka yang sudah membayar penuh premium sebelum 2015. – HARAKAHDAILY 26/3/2018