PAS sedia berdepan ‘silap mata’ BN-SPR

Dr Azman1

KUALA LUMPUR: PAS sentiasa mengadakan persiapan bersepadu dan dengan kesungguhan dalam menghadapi selok belok pilihan raya yang dipenuhi oleh pelbagai kemungkinan.

Advertisement

Tujuan PAS hanya untuk memastikan pelaksanaan yang menjadi bahagian penting demokrasi itu berlangsung secara bebas, adil dan mengikut undang-undang telah diperlembagaankan.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, bahkan persediaan PAS tidak bermusim atau menjelang hampirnya pilihan raya, sebaliknya tugas itu berlangsung sepanjang masa.

PAS menurutnya, mempunyai organisasi tersusun dari Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat dan Negeri, Majlis Tindakan Dun hingga Unit Peti Undi, termasuk petugas tetap.

“PAS telah menghadapi sejak sekian lama permainan, manipulasi, padang tidak sama rata, sampai kepada penganiayaan dan kezaliman berdarah dan terbunuh kerana menegak sistem ini.

“Tapi semuanya dengan cara mengikut lunas peraturan dan kaedahnya. Itulah kesabaran PAS walaupun sangat sedar segala penipuan dan kelicikan yang wujud,” jelasnya.

Terang Dr Azman, ia termasuk dalam menghadapi ‘silap mata’ proses pewartaan daftar pemilih dan persempadanan semula yang selalu berubah untuk memberi kelebihan kepada pihak tertentu (gerrymandering).

“Isu persempadanan baharu kawasan pilihan raya khususnya di negeri Terengganu sudah memperlihatkan siapa sebenarnya yang betul-betul serius nak lawan perancangan jahat BN melalui kaedah persempadanan semula.

“Wakil PAS yang buat bantahan datang dengan penuh persedian. Siap dengan peta, data dan fakta. Saya sendiri tak tidur hampir dua malam untuk menyiapkan dokumen-dokumen bantahan terhadap cadangan kemasukan Gong Batu dari Dun Permaisuri ke Dun Jabi.

“Kita datang ke Prosiding SPR lengkap dengan 20 orang pembantah yang diizinkan SPR. Jam 7.20 pagi 13 Disember 2016, wakil Jabi dah terpacak di TH Hotel tempat prosiding walaupun jadual prosiding jam 9 pagi.

“Kita benar-benar serius dengan apa yang kita buat. Lebih kurang jam 9 pagi, nampak dua wakil PAN datang melilau. Saya kenal sorang tu sebab dia pernah jadi Adun Ladang. Ingatkan mari nak buat bantahan. Rupanya mari buat lawa saja.

“Lepas tu balik kosong. Wat perabih beras jah kata orang Terengganu. Esok bila tak ada orang PAS berkumpul depan bangunan Parlimen, saya yakin puak-puak ni akan kata “PAS UG dengan Umno” setuju dengan persempadanan baru! Hanya puak dia yang bantah!” bidasnya.

Tuduhan sedemikian jelasnya, telah amat biasa dilempar kepada PAS, tetapi gerak kerja PAS bersiapsiaga menghadapi pilihan raya jauh terkehadapan dari pucuk pimpinan hingga ke akar umbi.

Sedangkan menurutnya, ada parti politik yang bertanding dalam Pakatan Rakyat dahulu bersama PAS bukan sahaja tiada Cawangan atau petugasnya, hatta duit belanja pengurusan pilihan raya pun PAS terpaksa kongsikan.

Katanya, sebelum pilihan raya mereka tiada kesungguhan dan persiapan sewajarnya untuk menghadapi lawan atau mengikut proses sepatutnya, tetapi lebih sibuk ‘mengadu’ ke pihak asing isu ketidakadilan.

Lepas pilihan raya pula ujar Dr Azman, mereka mahu bising di jalan raya, sedangkan parti yang menang ketika itu telah membentuk pemerintahan dan memiliki segala kekuatan serta jentera kerajaan.

“Masa itu sudah tidak bererti sangat lagi, melainkan kena terus berkerja menghadapi semua kemungkinan-kemungkinan tersebut 5 tahun lagi. Bukan hampir-hampir 5 tahun baru nak kerja semula,” sindirnya. – HARAKAHDAILY 27/3/2018