Projek hutang berkepentingan jadi modal kempen BN

SIK: Umno-BN Negeri Kedah disifatkan ketandusan idea apabila menjadikan projek kemudahan asas untuk rakyat yang dilaksanakan secara pinjaman hutang sebagai modal kempen PRU14.

Advertisement

Lebih malang apabila projek untuk perkhidmatan bekalan air itu sebenarnya berada dalam senarai peruntukan Persekutuan yang diberikan geran untuk dilaksanakan pembangunannya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan, projek-projek tersebut telahpun diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), namun diambil oleh Kerajaan BN Kedah secara pinjaman.

“Mengapa ia menjadi (bahan) kempen untuk gambarkan kebaikan kerajaan kepada rakyat? Walhal ia hutang yang perlu dibayar balik? Bukan pemberian atau hadiah atau melaksana peruntukan.

“Bayaran balik pinjaman ini dan pinjaman lain untuk projek infrastruktur air dalam RMK11 keseluruhannya berjumlah RM1.082 bilion.

“Kerajaan Kedah kena bayar balik pinjaman bermula tahun 2023 pada kadar RM32.481 juta setahun,” bidas merujuk pengumuman terbaharu berkaitan ‘peruntukan politik’ yang dibanggakan BN itu.

Perinci beliau, antara projek tersebut adalah Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau melibatkan hutang RM147.785 juta dengan faedah 3 peratus, manakala LRA Pokok Sena dan Kulim Hi-Tech perlu bayaran balik pinjaman bermula 2019 sebanyak RM4.5 juta setahun.

Dedah Sanusi juga, keseluruhan hutang berkaitan bekalan air negeri Kedah sahaja kini dianggarkan sebanyak RM2.7 bilion dengan kadar bayaran balik pinjaman itu sekitar RM83 juta setahun.

Sedangkan menurutnya, keputusan Mesyuarat Jamaah Menteri Tahun 1993 memutuskan peruntukan membina kemudahan asas bagi faedah rakyat kawasan luar bandar adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, peruntukan tersebut dibekalkan sebagai geran dan bukannya hutang, tetapi Kerajaan BN Kedah sejak beberapa kepimpinan sengaja mengambilnya secara pinjaman untuk kepentingan mereka, sedangkan menanggungnya rakyat.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menerangkan, di Kedah hanya tiga kawasan dikategorikan sebagai bandar iaitu Sungai Petani, Alor Setar dan Kulim, sedangkan kawasan lain adalah luar bandar yang layak menerima geran pembangunan.

Tetapi tempelaknya, BN Kedah sedang menggambarkan kononnya kebaikan kerajaan melaksanakan projek kepada rakyat dan janji manis PRU, walhal ianya bukan pemberian atau hadiah apatah lagi pelaksanaan tanggungjawab.

Sebaliknya, projek tersebut dilaksanakan secara pinjaman yang hutangnya ditanggung rakyat dari generasi ke generasi atas sikap pengurusan pimpinan BN dan kroni yang mengaut kepentingan dari pelaksanaan projek-projek tersebut dahulu dan akan datang.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan pelbagai peruntukan oleh kerajaan untuk dilaksanakan ketika lawatannya ke Kedah semalam dan hari ini. -HARAKAHDAILY 27/3/2018