Tun M akui jadi boneka kepada DAP

SETELAH Tun Dr Mahathir menerjah Wacana Sinar Harian Ke-53 khamis lalu, saya menggunakan ruang itu untuk menanyakan beliau mengenai persepsi bahawa, dari segi intelektual, beliau tidak akan mampu untuk jadi Perdana Menteri yang baik kerana beliau tidak akan mampu menguasai Pakatan Harapan (PH) serta hanya akan menjadi boneka (puppet) kepada para pemimpin lain disebabkan dominasi DAP di dalam PH. Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir, di dalam jawapan beliau, menafikan perkara ini.

Advertisement

Di dalam tulisan saya pada 21 Februari lalu, saya telah menulis mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir sehari sebelumnya bahawa, di dalam menyiapkan Manifestonya, “Kita (PH) tidak terikat dengan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin tertentu jika kita dapati kenyataannya itu tidak dapat dilaksanakan oleh kita apabila kita menerajui kerajaan” kerana, kata beliau, “Dana kerajaan mungkin tidak boleh menampung janji-janji yang keterlaluan”.

Saya menulis bahawa kenyataan Tun Dr Mahathir ini adalah indikasi kepada perbalahan lebih besar dalam PH dengan menunjukkan contoh perbalahan antara beliau, yang mempertahankan pengenaan tol di Lebuhraya Utara-Selatan dan di Jambatan Pertama Pulau Pinang di dalam satu sesi bual bicara mengenai dasar PH pada 10 Januari 2018, dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang disokong oleh pemimpin DAP lain seperti Dr Ong Kian Ming dan V Sivakumar, yang berjanji untuk menghapuskan tol ini.

Bila Manifesto PH dilancarkan pada 8 Mac lalu, saya sendiri merasa sangat terkejut kerana mendapati bahawa, di sebalik penentangan keras Tun Dr Mahathir ke atasnya, janji untuk menghapuskan tol ini turut terkandung di dalam Janji 6-nya, “Menghapuskan kutipan tol”. Saya bagaimanapun tidak mahu mengulasnya ketika itu kerana mahu menunggu ulasan Tun Dr Mahathir ke atasnya terlebih dahulu dan hari ini ulasan Tun Dr Mahathir ini telah ada di dalam laporan akhbar Straits Times Singapura pada 25 Mac.

Di dalam laporan ini, Tun Dr Mahathir menyebut mengenai betapa beliau kadang-kadang merasakan PH tidak akan mampu untuk memenuhi janji-janji yang terkandung di dalam manifestonya dengan menyebut mengenai kewujudan parti di dalam PH yang bersifat “very socialistic” yang suka memberi benda kepada rakyat. Kata Tun Dr Mahathir, walaupun beliau sendiri memaklumkan kepada pemimpin ini bahawa perkara seperti penghapusan semua tol ini tidak boleh dilakukan, tetapi kerana mereka mahu populariti maka janji ini tetap dimasukkan juga di dalam Manifesto PH.

Sungguh saya tergelak besar membaca pengakuan Tun Dr Mahathir ini kerana, antara keempat-empat parti di dalam PH, hanya DAP sahaja-lah yang mengisytiharkan di dalam laman rasminya bahawa ia adalah sebuah parti “Sosialis demokratik atau demokrat sosial”, yang menjadi ahli kepada Sosialis Antarabangsa (SI) dan yang memperjuangkan “kesamarataan” yang, mengikutnya, membawa erti “Tentangan terhadap eksploitasi dan hak dan keistimewaan mereka yang mengawal kuasa ekonomi dan politik”.

Tidakkah pengakuan Tun Dr Mahathir di dalam akhbar Straits Times Singapura ini adalah satu indikasi kepada kenyataan saya di depan beliau sendiri di dalam Wacana Sinar Harian Ke-53 Khamis lalu, malah di dalam kenyataan lain juga, bahawa beliau tidak akan mampu menguasai PH serta hanya akan menjadi boneka (puppet) kepada para pemimpin lain disebabkan dominasi DAP di dalam PH? Ini baru isu tol, belum lagi dibangkitkan dominasi DAP di dalam pelbagai isu lain Manifesto PH.

Bandingkan sahaja ketundukan Tun Dr Mahathir kepada DAP ini dengan ketegasan beliau kepada MCA bila Adun MCA mengugut untuk meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan Selangor meluluskan pindaan ke atas salah satu enakmen Islam Kerajaan Selangor pada tahun 1989 di mana jawapan tegas beliau adalah: Kalau Adun MCA nak letak jawatan silalah letak jawatan, tetapi kalau MCA nak bertanding balik di kerusi itu Umno tak akan sokong calon MCA dan MCA juga tak boleh guna lambang BN. Akuilah sahaja bahawa Tun Dr Mahathir sudah terlalu lemah untuk jadi Perdana Menteri. – HARAKAHDAILY 27/3/2018