Warga PDRM dihargai PAS Larut

LARUT: Tanggungjawab diperanankan pasukan beruniform Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam memastikan ketenteraman awam dalam negara merupakan pengorbanan sangat tidak ternilai.

Advertisement

Ianya adalah tugas penuh setia dan berintegriti dalam menjamin keharmonian masyarakat dan kejayaan pembangunan negara yang tidak terpikul oleh rakyat biasa.

Atas menghargai sumbangan itu, maka PAS Kawasan Larut telah mengadakan kunjungan meraikan warga PDRM sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-211 di Ibu Pejabat Polis Daerah Selama dan Balai Polis Batu Kurau, di sini semalam.

Kunjungan masing-masing diketuai Yang DiPertua PAS Larut, Ustaz Akmal Kamarudin dan Pengarah Pilihan Raya Dun Batu Kurau, Ustaz Syahir Hasan ke dua premis itu turut menyampaikan kek khas keraian.

Menurut Ustaz Akmal, beliau berdoa anggota keselamatan negara itu terus teguh dan diberi kekuatan oleh Allah untuk melaksanakan tugas mereka dengan dedikasi dan cemerlang.

Beliau juga turut merakamkan penghargaan tahniah secara khusus kepada Pemangku Ketua Polis Daerah Selama, ASP Abd Ghani Zainon atas kejayaannya menerima anugerah dari Perdana Menteri sempena sambutan tersebut.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pihak ASP Abd Ghani atas kejayaan merangkul anugerah pengurusan perumahan terbaik PDRM seluruh Malaysia. -HARAKAHDAILY 27/3/2018