Guru agama beri keterangan kes saman Husam

KOTA BHARU: Seorang guru agama, Ustaz Masri Che Yusoff hari ini tampil di mahkamah memberi keterangan berhubung saman fitnah Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Husam Musa terhadapnya.

Advertisement

Pada November 2016 Husam memfailkan saman terhadap Masri berikutan guru agama itu memuatkan naik isu tanah yang dikaitkan dengan pemimpin PAN terbabit di laman sosialnya.

Pada catatan terbabit Masri meminta penjelasan Husam berhubung tanah seluas 414.37 hektar yang didakwa diberikan kepada Akademi Pembangunan Keluarga Bahagia Bhd dan berkaitan pemilikan syarikat berkenaan.

Pada prosiding hari ini Husam diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil, manakala Masri diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud bersama Nik Bahrum Nik Abdullah.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi menangguhkan prosiding kes tersebut kepada 2 dan 3 April ini.

Pada prosiding sebelum itu Masri disoal balas peguam, Muhammad Faiz selama dua jam di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Dato’ Ahmad Bache. – HARAKAHDAILY 28/3/2018