Kita mulia kerana memilih Islam

ALHAMDULILLAH. Beberapa hari ini, ramai rakyat Malaysia yang ingin menjadi ahli PAS di seluruh Malaysia. Selamat Datang diucapkan kepada ahli-ahli baru menyertai PAS. Sama ada anda dari tiada berparti mahupun dari parti lawan PAS dahulu. Pintu PAS terbuka untuk sesiapa sahaja yang ingin membantu PAS menegakkan Islam.

Advertisement

mohd norSilalah masuk, lihatlah persekitaran dalaman PAS, moga anda akan dapat mencari kesesuaian posisi di dalam PAS. Paling sesuai ialah bagi orang yang sanggup bersusah payah kerana Allah. Tanpa bayaran, tanpa nama, tanpa diketahui dan tanpa pangkat. Semakin ia diamalkan insya Allah semakin dekat anda dengan Allah. Apa yang anda lakukan di dalam PAS adalah untuk Allah dan akan kembali kepada anda insya Allah.

Rumah PAS ini ada empunyanya, ada keluarganya dan ada peraturannya. Jika ada sampah, sama-sama kita bersihkan, jika ada rosak, sama-sama kita baiki, jika ada cacat cela, sama-sama kita bantu. Namun membuka walau sedikit ruang bagi musuh merosakkan rumah ini, jangan sekali-kali.

Akhirnya pesan saya, untuk menguatkan jati diri kita sebagai pejuang Islam, selalulah bermuhasabah diri melalui usrah, kuliah, liqa dan segala program yang kita diamanahkan mengikutinya. Kita kuat bukan kerana ramai, kita hebat bukan kerana pandai, tetapi semua kemuliaan itu dikurniakan Allah kerana kita memilih untuk berada atas jalan Islam. Selagi kita faham semua ini, insya Allah kita akan berjalan seiringan, jatuh bangun bersama, kita akan bergerak bersama-sama di atas jalan yang Allah dan rasul mahukan.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
10 Rejab 1439/28 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 28/3/2018