Pengetahuan am prosiding bantah persempadanan baharu

REVIEW sikit prosiding bantahan persempadanan baru kawasan pilihan raya SPR kepada yang tak pernah melaluinya dan tak pernah hadir prosiding bantahan sebagai satu pengetahuan am.

Advertisement

Apabila SPR membentangkan pameran cadangan persempadanan baru kawasan pilihan raya, mereka yang berhak mengemukakan bantahan ialah Kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan atau kumpulan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 100 orang pengundi kawasan pilihan raya yang terkesan dan dalam daftar pemilih semasa.

Kita parti politik yang tak ada kerajaan seperti PAS di Terengganu, mengambil ruang peruntukan 100 orang pengundi kawasan pilihan raya yang terkesan dengan mengumpulkan 100 orang pengundi dari DUN yang terlibat.

Apabila bantahan yang diserahkan kepada SPR itu cukup syaratnya, maka 3 orang jurucakap dari kumpulan 100 orang akan dipanggil dan perlu hadir semasa prosiding bantahan untuk mengemukakan hujah bantahan di hadapan Pengerusi SPR, Ahli SPR dan Pegawai SPR yang lain. 20 orang dari 100 orang pembantah boleh hadir sama sebagai penyokong.

Maka kita telah hadir ketika prosiding bantahan di Hotel Tabung Haji Gong Badak, berhujah dengan data, fakta dan peta. Antara point utama yang menjadi hujah ialah, sesuatu kawasan pilihan raya mesti mempunyai sempadan nyata, mempunyai jalan perhubungan dan berada di bawah pentadbiran kerajaan tempatan yang sama. Contohnya bila nak masukkan Gong Batu Setiu ke dalam DUN Jabi, ia tak menepati sama sekali kerana DUN Jabi berada dalam pentadbiran Daerah Besut manakala Gong Batu dalam Setiu.

Prosiding ini hanyalah sesi pendengaran sahaja dan tiada keputusan dibuat oleh SPR. Nak tahu keputusan, perlu tunggu pameran kali kedua. Selepas pameran kali kedua dipamerkan, kita akan tahu sama ada bantahan kita berjaya atau ditolak. Dalam kes DUN Jabi, alhamdulillah kami berjaya. Apabila ditolak, rayuan boleh dikemukakan. Kuasa pemutus rayuan juga SPR.

Memang janggal bila SPR yang buat cadangan, kita bantah dan akhirnya SPR juga yang buat keputusan. Tentu akan jadi lebih adil seandainya bantahan kita dinilai oleh pihak ketiga. SPR diberikan kuasa untuk membuat keputusan dan menyerahkan Laporan Cadangan Kajian Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan di Parlimen.

Antara kelemahan prosiding bantahan persempadanan SPR ini ialah, mereka hanya mendengar hujah dan fakta kita tanpa sebarang jawapan dan respon. Hanya kita yang bercakap dan SPR hanya mendengar. Sama ada mereka faham atau tidak hujah dan fakta yang dibentangkan, kita tak tahu. Selepas prosiding barulah mereka buat keputusan yang kita akan dapat tengok ketika ia dipamerkan kali yang keseterusnya.

Walau kita tahu prosiding bantahan ini ada kelemahan dan tak menjanjikan keadilan, tetap kita manfaatkan saluran undang-undang yang ada ini.

Kita pun tahu, ke mana akhirnya matlamat persempadanan baru ini dibuat kalau bukan untuk mengekalkan kuasa mereka yang sedang berkuasa.

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 28/3/2018