Persempadanan SPR tidak ikut sosio budaya

KOTA BHARU: PAS sejak awal lagi membantah cadangan awal kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya kerana ia dibuat tidak mencerminkan kedudukan dan sosio budaya.

Advertisement

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sebahagian besar persempadanan semula tidak mencerminkan realiti sebenar.

Katanya, kajian awal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengambil kira kawasan pentadbiran Pejabat Tanah dan Jajahan dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kita telah membuat bantahan sebelum ini di mana sebahagian besar diterima oleh SPR.

“Tetapi apa yang dibentang di parlimen hari ini kita tidak dapat dipastikan adakah ia mengambil kira bantahan yang pernah dibuat PAS,” katanya di sini.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan sebahagian kajian persempadanan semula boleh dianggap ada kewajaran.

Di parlimen hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentang laporan persempadanan semula untuk kawasan pilihan raya di Semenanjung Malaysia.

Katanya SPR mengesyorkan pindaan nama ke atas 12 bahagian pilihan raya persekutuan serta 28 bahagian pilihan raya negeri. – HARAKAHDAILY 28/3/2018