Persempadanan semula dibuat tergesa-gesa

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia mempersoalkan kenapa usul persempadanan semula dijalankan secara tergesa-gesa dan tempoh pembentangan di Dewan Rakyat juga begitu singkat berbanding pembentangan sebelum ini yang mengambil sekurang-kurangnya empat bulan.

Advertisement

Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lulus selepas sesi belah bahagi di Dewan Rakyat pada 28 Mac 2018, dengan 129 menyokong dan 80 menolak. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia, menyokong sepenuhnya hujah ahli Parlimen (PAS-Kota Bharu), Yang Berhormat Dato’ Takiyuddin Hassan yang merujuk kepada tempoh perbahasan 10 minit semalam yang singkat selain Sabah tercicir buat kali pertama dalam persempadanan itu.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia bimbang berlaku kekeliruan di kalangan rakyat untuk PRU14 apabila setiap individu perlu menyemak semula kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing dan juga perubahan pusat mengundi. Kami menyeru kepada setiap rakyat Malaysia, parti-parti politik dan penyokong, agar mengambil inisiatif segera dengan membuat semakan secepat mungkin supaya pengesahan dapat dilakukan.

Memang benar, persempadanan semula adalah satu proses kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia sekurang-kurangnya setiap 8 tahun. Tetapi cara usul ini diluluskan secara tergesa-gesa memberikan persepsi negatif kepada kerajaan dan mengakibatkan kekeliruan di kalangan rakyat yang akan membuang undi pada PRU14. Seharusnya usul SPR tidak terhad kepada persempadanan semula semata-mata. SPR perlu menambah baik sistem pilihan raya sedia ada, contohnya akses media yang bebas dan adil sewaktu kempen kepada semua parti politik. Sekian.

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
merangkap
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera – HARAKAHDAILY 29/3/2018