Persempadanan usaha halang PAS menangi T’ganu

KUALA TERENGGANU: PAS Negeri Terengganu menyifatkan kelulusan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang baharu di Dewan Rakyat, semalam itu suatu yang memeritkan.

Advertisement

Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman berkata kelulusan itu satu usaha Kerajaan Barisan Nasional (BN) menghalang PAS.

Menurutnya, Umno-BN cuba menghalang kemaraan PAS merampas Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini.

“Kita (PAS) melihat kelulusan (persempadanan) ini untuk halang PAS menawan kembali Terengganu ini pada pilihan raya (PRU14) ini.

“Walaupun kita (PAS) bantah dan tidak setuju kerana ada beberapa Dun (Dewan Undangan Negeri) yang kita menang akan terjejas kali ini.

“Tapi, kita tidak berputus-asa dan menyerah kalah. Kita (PAS) akan pastikan jentera parti diperkuatkan dan usaha kempen berterusan untuk rakyat membuat perubahan, InsyaAllah,” jelasnya kepada Harakah, hari ini.

Katanya, antara Dun yang telah dimenangi PAS pada PRU13 lalu dan terjejas dengan isu ini seperti Dun Tepoh di Kuala Nerus dan Dun Rantau Abang serta Dun Paka di Dungun.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat juga bakal terkesan tetapi tetap yakin rakyat akan menolak Umno-BN kali ini.

Harakah dimaklumkan, Dun Tepoh dimenangi oleh PAS, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim setelah mengalahkan calon BN, Muhammad Ramli Nuh dengan kelebihan majoritinya 229 undi pada PRU13 lalu.

Dun Rantau Abang (PAS), Cikgu Alias Harun menang dengan lawan tiga penjuru mengalahkan calon BN, Dato Zaabar Mohd Adib dan calon Bebas, Mazlan Harun dengan majoritinya 141 undi.

Manakala, Dun Paka (PAS) yang dimenangi oleh Ustaz Satiful Bahri Mamat yang mengalahkan calon BN, Dato’ Matulidi Jusoh dengan kelebihan majoriti 1,287 undi juga masih terancam.

Ini kerana, kata Ustaz Ariffin bahawa satu Unit Peti Undi (UPU) Sura Lama yang sebelum ini berada dalam Dun Paka menjadi kubu PAS itu telah dikeluarkan masuk ke dalam Dun Sura.

Keputusan PRU13 lalu, Umno-BN berjaya memerintah Terengganu dengan 17 kerusi Dun berbanding pembangkang Pakatan Rakyat-PAS, 15 kerusi Dun dan hanya kelebihan dua kerusi sahaja. –HARAKAHDAILY 29/3/2018