Hanipa: Akui silap, jangan asyik gembira

DON’T worry be happy” (“Usah risau mari gembira”) umumnya adalah prinsip yang baik kerana kajian dalam bidang psikologi membuktikan bahawa kebimbangan berlebihan boleh membawa pelbagai masalah kepada diri seseorang individu, termasuk tekanan jiwa.

Advertisement

Bagaimanapun, mengguna pakai prinsip ini sebagai dalih untuk melarikan diri dari isu-isu penting yang dihadapi oleh individu tersebut sebenarnya adalah sikap yang tidak baik kerana apa yang diperlukan adalah untuk menanganinya secara terus supaya boleh “move on”.

Saya perhatikan inilah yang kerap dilakukan oleh Pengerusi Kanun PAN merangkap ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, bila beliau berada dalam keadaan tertekan ekoran kritikan masyarakat terhadap beliau, khususnya dalam isu-isu membabitkan agama.

Bila beliau berhadapan dengan kritikan masyarakat, termasuk saya, kerana kesilapan beliau mempertahankan ateisme akhir tahun lalu, itulah kaedah yang beliau guna untuk melarikan diri darinya, iaitu menulis “Don’t worry be happy” pada 29 dan 30 November 2017.

Hari ini beliau sekali lagi berhadapan dengan kritikan masyarakat kerana kesilapan beliau menyebut di Parlimen ungkapan kalau beliau tuhan beliau tidak akan jadikan atau akan hapuskan ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Rahim, yang “menyusahkan orang saja”.

Jawapan mudah beliau di laman Facebook beliau hari ini adalah sekali lagi menggunakan “Don’t worry be happy” ini untuk menepisnya, ditambah dengan tuduhan kononnya pengkritik beliau “spin” ungkapan beliau itu untuk mengalihkan perhatian dari isu lain.

Kepada Hanipa, eloklah jangan kerap sangat bergantung dengan “Don’t worry be happy” ini untuk melarikan diri dari isu-isu penting yang dihadapi oleh beliau, khususnya isu-isu membabitkan agama, sebaliknya tanganilah ia dengan lebih serius seperti sepatutnya.

Sahabat beliau Mufti Perlis sendiri sudah menulis ungkapan beliau itu “secara langsung dan tidak langsung merendah penciptaan tuhan dan menafikan hikmah ciptaan-Nya” dan “sangat bahaya kepada akidah yang mengungkapnya jika dia sedar apa yang diucapkan”.

Saya tidaklah sekeras Mufti Perlis yang secara terus-terang meminta beliau “bertaubat dari ucapan itu”, cuma jika banyak pihak yang berwibawa menyebutkan beliau memang melakukan kesilapan maka buanglah ego dan akui sahajalah kesilapan itu dan “move on”. – HARAKAHDAILY 30/3/2018