Jurnal sebagai sumber panduan peradaban

KUALA LUMPUR: Jurnal Hal Ehwal Islam dan Warisan Selangor julung kali diterbitkan sebagai sumber panduan dan maklumat berkenaan perkembangan, kemajuan, ketamadunan dan peradaban negeri Selangor.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Dato’ Dr Yunus Hairi berkata, terbitan jurnal itu bertujuan untuk mewujudkan saluran kepada ahli akademik, penyelidik dan masyarakat untuk berkongsi dapatan kajian, idea dan maklumat.

Katanya, jurnal berwasit melalui kaedah peer reviewed journals itu berasaskan integrasi ilmu dalam disiplin pengajian Islam dengan kemanusiaan yang bersifat kontemporari sekali gus menyumbang kepada pembangunan negeri khususnya dari segi teori dan amali.

Memetik laporan SelangorKini, beliau berkata dengan menerbitkan jurnal itu, ia merupakan sejarah yang akan dirakamkan di dalam tinta sejarah negeri.

Ini, tambahnya kerana jurnal itu merupakan satu-satunya bahan ilmiah berwasit yang pernah dihasilkan oleh kerajaan negeri.

“Secara tidak langsung, ini menunjukkan Selangor mempunyai sejarah yang unik seperti negeri lain dalam negara ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jurnal itu, di Shah Alam. Hadir sama Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim. (Foto SelangorKini)

Dr Yunus berkata sejak 2013, pelbagai usaha pengukuhan dan pemerkasaan Institusi Agama Islam dan Warisan Adat Budaya Selangor dilaksanakan dengan secara tersusun bagi merealisasikan hasrat Sultan Selangor supaya negeri itu mampu memimpin peradaban dunia islam di rantau Asia.

Katanya, rakyat Selangor kini secara keseluruhannya amat meyakini dan mengiktiraf segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi mencapai matlamat dan tujuan itu.

Selain itu, ujar beliau dengan hasil penghijrahan pelbagai pihak sejak dahulu ke Selangor banyak menambah ‘warna’ koleksi warisan sejarah adat budaya.

Namun kini, jelasnya kebanyakan adat budaya terdahulu banyak ditapis agar ia disahkan ketulenan bagi menjadi identiti adat dan budaya selain tidak bersalahan dan bertentangan dengan hukum syarak.