Maha Suci Allah tiada bandingan

SELURUH umat Islam sedang bergembira menyambut peristiwa Israk dan Mikraj di bulan Rejab. Allah mengungkapkan peristiwa yang penuh ajaib dengan firman-Nya:

Advertisement

“Maha Suci (tuhan) yang telah memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam daripada Masjid Haram ke Masjid Aqsa yang kami berkatkan sekitarnya untuk kami perlihatkan kepadanya ayat-ayat Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(al-Isra’: 1)

Saya dengan penuh rasa kesal dan sedih dengan sikap yang ditunjukkan oleh MP Sepang ketika berbahas di Parlimen semalam. Allah adalah tuhan kita bagi orang Islam, tuhan sekalian alam, juga kepada semua manusia. Apabila menyebut tuhan, maka tiadalah yang terlintas di dalam fikiran kita sebagai Muslim, kecuali Allah. Sebagai umat Islam, kita dilarang sama sekali untuk menggambarkan bentuk, menyamakan, memperlekehkan, mempersenda ataupun membuat Allah sebagai satu bentuk misalan bagi memperolok-olokkan. Itu jelas:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

“Tidak ada sesuatu pun yang menyamai Allah.”

(ash-Shura: 11)

Perkataan ‘kalau’ sememangnya tidak boleh diguna sebagai perisai oleh MP Sepang dalam hal ini. ‘Kalau’ ada tempatnya boleh, ada tempatnya haram. Kita semua tahu sebuah hadis di zaman Rasulullah melarang kita menyebut ‘kalau’ kerana kesal atas keburukan yang menimpa. Buatlah apa pun, Allah itu bukan berjawatan, jadi bagaimana mungkin manusia boleh berkata kalau saya jadi tuhan?

Apatah lagi dengan jelas beliau menyebut sebab saya bukan tuhan, maka tuhan ciptakan MP Baling. Adakah ini bermakna Allah bodoh tidak tahu apa yang Dia lakukan? Atau Allah tidak mengetahui kesan ciptaan-Nya? Atau adakah ini Allah perlu berbincang dengan beliau dahulu sebelum menciptakan sesuatu?

Ini tidak kurang bezanya dengan sikap salah seorang yang mengaku cendekiawan Islam yang berada di dalam Bersatu sekarang ini. Beliau pernah mengandaikan jika Rasulullah hidup ketika ini, Rasulullah pun akan meletakkan jawatan. Apakah beliau bermaksud ujian yang beliau tanggung sekarang ini adalah lebih dahsyat dan hebat daripada apa yang telah Rasulullah lalui?

Atau adakah beliau ingin memberikan isyarat bahawa dengan PhD yang beliau ada, maka Rasulullah yang ummiy atau buta huruf itu tidak akan lebih hebat daripada beliau? Lebih malang lagi, ianya disebutkan di hadapan paderi di dalam gereja. Sedih kerana kedua-duanya sombong tidak mahu menerima kebenaran teguran. Janganlah harapnya mereka termasuk di dalam hadis Rasulullah yang menafsirkan sombong itu ialah menolak kebenaran dan tidak akan masuk syurga bagi mereka yang bersifat demikian.

Amat sesuailah gandingan mantap ini, kedua-duanya di dalam PH. Tidak lupa juga kepada Pengerusi PH yang tidak membenarkan isterinya bertudung, menghina Allah dan Rasul atas isu hukum Hudud ketika beliau menjadi PM dahulu. Dikuatkan lagi dengan kehadiran Presiden Bersatu yang terang-terang mengfitnah Presiden PAS menyokong GST, sedang di dalam video jelas beliaulah yang sebaliknya berkempen mempromosikan GST.

DAP yang berterusan mengfitnah dan membenci Islam, serta pimpinan mereka yang sedang menghadapi tuduhan rasuah. PKR yang juga pening dengan terpaksa menyokong Mahathir yang pernah membuat tuduhan liwat ke atas Anwar, yang sehingga kini masih belum ditarik balik tuduhan itu.

Umno-BN pula sememangnya dari mula tidak boleh diharap untuk menjaga negara, sama ada hal dunia, mahupun akhirat, maka kekallah PAS sebagai satu-satunya wadah yang tetap teguh berpegang kepada prinsip untuk menjulang Islam. PAS insyaa Allah tidak akan sekali-kali membiarkan Allah dan Rasul dipermainkan.

Marilah kita selamatkan Malaysia ini daripada dua golongan ini, yang jahil mengenai agama dan daripada golongan yang mengaku pandai agama, tetapi memberikan khayalan kepada rakyat bahawa Allah dan Rasul itu berjawatan, boleh diambil jawatan itu ataupun meletakkan jawatan itu. Wallahua’lam.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu
12 Rejab 1439 / 30 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 30/3/2018