MAT Kalabakan mahu realisasi kemenangan

KALABAKAN: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Kalabakan Kali Ketujuh bertema “Merealisasi Kemenangan telah berlangsung di Tawau, di sini hari ini.
 
Dengan dukungan lebih 100 perwakilan dan pemerhati, mesyuarat tersebut disempurnakan perasmiannya oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah.
 
Dalam ucapannya, beliau membangkitkan semangat hadirin agar terus istiqamah menegakkan panji Allah biarpun dikelilingi musuh di kiri dan kanan perjuangan.
 
Serunya, sebagai ahli jamaah perlu memiliki keteguhan pendirian dan sabar melayari bahtera perjuangan Islam di muka bumi khususnya di Malaysia.
 
Selain itu nasihatnya, perlu dipasak dalam diri keyakinan bahawa kemenangan bukan milik manusia tapi anugerah daripada Allah S.W.T.
 
Demikian itu ujarnya, menunaikan tanggungjawab dengan telus dan amanah penting agar tidak terpalit dengan sebarang pecah amanah dan rasuah.
 
Mesyuarat tersebut menyaksikan usul tarbiyah ditegaskan perwakilan Dewan Pemuda PAS supaya diperkasakan, selain usul dari PAS Cawangan Muhibbah Raya untuk penubuhan Cawangan baharu.
 
Perwakilan juga mengusulkan agar kepimpinan PAS Kawasan membawa gesaan kepada pihak berwajib untuk pembinaan masjid di kawasan-kawasan penempatan.
 
Sesi penganugerahan turut dilangsungkan iaitu Anugerah JIBG Aktif kepada Rosnah Usman dari PASTI Al-Hakim Taman Ria 9 dan Anugerah Tokoh Keluarga kepada Ramli Hassan. -HARAKAHDAILY 30/3/2018
Advertisement