Usah keliru dengan PAS – Ahmad Dusuki

KUALA TERENGGANU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah sebuah parti politik yang membawa dasarnya al-Quran dan Hadis, dan bukan agama sebagaimana yang dikelirukan.

Advertisement

Pendakwah terkenal, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menjelaskan bahawa PAS bukan agama tetapi parti itu membawa agama Islam bersamanya.

Justeru katanya, masyarakat umum termasuk para Mufti juga kena faham perbezaan itu mengenai PAS yang memperjuangkan Islam.

“Sebab itu kita sebut PAS ini bukan agama tapi PAS bawa agama, biar faham sikit perbezaan itu. Ini ada juga Mufti yang tidak faham kata PAS agama. PAS adalah parti yang bawa al-Quran dan Hadis Rasullah S.A.W.

“Namun, bila ada lagi orang yang tolak PAS itu bukan kamu zalim kepada PAS, tetapi zalim kepada diri kamu sendiri,” tegasnya dalam program Bicara Addin Sejahtera Bersama Islam di Masjid Al-Furqan, Chendering, Kuala Terengganu, kelmarin.

Ustaz Dusuki turut menegaskan hanya PAS satu-satunya parti politik di negara ini yang memperjuangkan Islam.

“Di Malaysia ini hanya PAS sahaja yang (hendak) bawa Islam. Umno bawa nasionalis, PKR bawa demokrat progresif, PAN bawa fahaman liberal di kalangan mereka. PAS bawa Quran dan Hadis,” jelasnya dengan penuh yakin.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Negeri Selangor menyeru kepada seluruh rakyat Terengganu agar memberi peluang kepada PAS memerintah negeri ini.

“Oleh itu, kita (rakyat) bagilah peluang kepada PAS memerintah. Di Terengganu ini, Insyaa Allah nampak macam hendak menang sangat dan tunggu masa sahaja.

“Musuh kita (PAS) sekarang berada dalam keadaan sangat lemah sehinggakan berdoa pun dia takut. Kita jangan lemah dalam hidup kita dan kena kuat dengan Islam,” tegasnya.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah. – HARAKAHDAILY 31/3/2018