Keutuhan wala’ akan natijahkan kejayaan untuk PAS

SIK: Wala‘ merupakan aspek sangat penting dalam kelancaran pengurusan organisasi yang dengannya menghadirkan keberkatan berjamaah serta memandu kepada kejayaan.

Advertisement

Yang DiPertua PAS Kawasan Sik, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan perkara itu pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Sik Kali Ke-34 di Kompleks PAS Sik, Sungai Pau di sini kelmarin.

Menurut beliau, dalam al-Quran disebut mengenai wala‘ dan kepatuhan kepada pimpinan selagi mana pimpinan itu taat dan patuh akan Allah dan Rasul.

Sekali gus terang beliau, sebagai ahli parti mestilah mengikuti arahan pucuk pimpinan yang diberikan dengan tidak menyalahi syarak, serta bertepatan pula dengan kehendak syariat Allah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah itu juga berkata, para Sahabat R.A sangat wala‘ kepada Nabi S.A.W dan tidak pernah mendahului Baginda dalam membuat sesuatu keputusan.

“Maka sebagai penyambung legasi perjuangan Islam yang dibawa oleh Nabi S.A.W, kita hendaklah mencontohi Sahabat R.A dalam hal wala’ kepada pimpinan selagi tidak menyalahi syarak.

“Kemanisan dalam perjuangan ini akan dirasai jika setiap arahan parti dipatuhi dan dilaksanakan seikhlas mungkin demi melihat Islam tertegak di bumi Malaysia ini,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menambah, kerja-kerja PAS ialah kerja berjamaah dan wajib dilakukan oleh semua, bukannya hanya dilaksanakan pimpinan, sedangkan lainnya berpeluk tubuh.

Jika demikian menurutnya, menyalahi konsep berjamaah yang dibawa oleh PAS selama penubuhan sejak tahun 1951, hanya kerana ketidakpuasan hati ahli terhadap kepimpinan mahupun arahan mereka.

“Di sinilah diuji tahap kesetiaan dan wala‘ kita terhadap pimpinan sama ada kita mampu mematuhi arahan atau kita berpaling dari mereka yang akan menyebabkan kita berada dalam keadaan berdosa,” ujarnya.

Oleh itu seru beliau, teruskan berkerja untuk memenangkan PAS dalam PRU ini dan jangan berlaku pertikaian dalam perkara yang akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama PAS, sedang sebagai ‘makmum’ wajib mengikuti.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan sebagai perasmi serta Pengerusi Assabiqun PAS Negeri Kedah, Ustaz Mohd Isa Shafie sebagai tetamu jemputan. – HARAKAHDAILY 1/4/2018