Aktivis PAS Kemaman meninggal dunia

KEMAMAN: PAS Kawasan Kemaman kehilangan aktivis veteran parti yang komited setelah disahkan meninggal dunia, jam 1.00 pagi semalam.

Advertisement

Allahyarham Othman Abdullah, 58, atau lebih mesra dengan panggilan Haji Man Janggut meninggal dunia akibat sesak nafas di rumahnya, Jalan Delima 8, Lot 144, Mak Cili, Chukai, Kemaman.

Harakah dimaklumkan, allahyarham meninggalkan seorang balunya, Puan Zuliha Abi dan 9 orang anak berusia antara 11 hingga 31 tahun terdiri dari lima lelaki dan empat perempuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Hanafiah Mat menyifatkan pemergian allahyarham Haji Man Janggut itu suatu kehilangan besar kepada perjuangan PAS Kemaman.

Katanya, arwah itu merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Kemaman, Setiausaha Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, mantan Ketua Pemuda PAS Kemaman dan bekas pekerja Petronas Gas Bhd (ET), suatu ketika dahulu.

“Saya mewakili PAS Kawasan Kemaman dan MTD Chukai merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham (Othman) dan harap bersabar dengan ketentuan Allah S.W.T ini.

“Kami di peringkat PAS Kemaman amat bersedih dengan berita ini dan merasakan satu kehilangan dalam permata perjuangan PAS.

“Semoga, hasil pengorbanan beliau selama berada dalam perjuangan PAS sehingga akhir hayatnya diberi ganjaran pahala oleh Allah S.W.T, InsyaAllah,” ujarnya dengan nada sedih.

Menurutnya, allahyarham amat komited dengan parti dan pada hari terakhirnya masih hadir ke program Himpunan Kekalkan Dun Chukai (HKC-2) di Kampung Geliga Besar, Chukai, Kemaman pada 31 Mac lalu.

Jenazah allahyarham disolat sebanyak tiga kali yang diimamkan oleh anak lelakinya, Mohd Hazwan Haji Othman dan Ustaz Mohd Nakhaie sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jabor Kubur, Kemaman.

Antara pimpinan PAS Terengganu yang hadir solat jenazahnya Adun Alor Limbat, Ustaz Ariffin Deraman, Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid, Adun Chukai, Hanafiah Mat, Ketua Penerangan. – HARAKAHDAILY 2/4/2018