BN, PH tak mampu tawarkan Islam asas bernegara

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu menawarkan kepada rakyat dengan Islam sebagai asas bernegara dalam manifesto masing-masing.

Advertisement

Hal ini berbeza kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dengan PAS yang bersedia memperkasakan Islam secara menyeluruh dalam 20 kandungan manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Menurutnya, ada pihak lain yang mempersoalkan PAS kenapa tidak memasukkan hukum hudud dalam 20 tawaran manifesto PAS itu.

“Ada orang tanya kenapa dalam 20 manifesto PAS-Gagasan Sejahtera itu tidak disebut hudud? Hudud (adalah) sebahagian dari Undang-undang jenayah Islam.

“Apabila kita kata hendak laksanakan Islam secara menyeluruh dan merangkumilah antaranya berkaitan dengan hudud. Manifesto ini tidak perlu kita detail panjang-panjang, beri yang asas-asas.

“Bila sebut kita hendak Islam sebagai Ad-Deen itu dia merangkumi semua sekali, bukan hanya bab undang-undang (sahaja) tapi merangkumi bab ibadahnya, bab muamalat, bab munakahat, bab negara, bab undang-undang semua sekali dan merangkumi semua,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana Himpunan Kekalkan Dun Chukai (HKDC) 2.0 di Dataran Tok Guru, Kampung Geliga Besar, Chukai, di sini kelmarin.

Justeru katanya, tidak ada mana-mana parti selain PAS yang bersedia menawarkan Islam secara menyeluruh kepada rakyat sejak dari dahulu hingga sekarang.

“Parti mana yang menawarkan Islam sebagai asas bernegara? PH tidak mungkin mampu untuk mengemukakan kepada rakyat Islam sebagai asas bernegara. Umno pun dia tidak mampu dan itu bukan impian Umno.

“Tapi, yang konsisten, yang istiqamah sejak sebelum merdeka hingga selepas merdeka, hingga ke saat ini dan InsyaAllah, sampai bila-bila yang hendak laksanakan Islam hanya PAS sahaja,” tegasnya.

Oleh itu, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus bahawa Islam bukan tempelan, tetapi Islam menjadi paksi kepada Islam bernegara.

Tawaran Manifesto PAS-Gagasan ialah memperkasakan peruntukan Islam sebagai Agama Persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam sebagai Ad-Deen iaitu sistem yang melengkapi seluruh aspek kehidupan.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Hanafiah Mat. – HARAKAHDAILY 2/4/2018