Muslimat Muda bayangan masa depan PAS Sabah

TAWAU: Perjuangan Islam di bumi Sabah menampakkan sinar cahaya yang gemilang sebagaimana dizahirkan dari komitmen kalangan Muslimat Muda PAS di negeri itu.

Advertisement

Generasi pewaris dakwah itu merupakan kelompok teramai memeriahkan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah yang dilangsungkan di Hotel Tawau, di sini kelmarin.

Malah, mereka menjadi tenaga penting Muslimat sebagai sayap parti di seluruh PAS Kawasan negeri Di Bawah Bayu itu, sekali gus memberi signal selaku pendukung utama gerak kerja PRU.

Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu dalam ucapannya turut menyuntik harapan kepada Muslimat Muda untuk meluaskan gerak kerja, peranan dan khidmat bakti mereka.

Kepada golongan itu disandarkan untuk melaksanakan aktiviti sosial dan kemasyarakatan agar dapat mendekatkan lagi masyarakat di Sabah kepada PAS.

Lebih membakar inspirasi apabila Ketua Briged Sabah, Ummu Asyura Abdullah turut dinobatkan dengan Anugerah Muslimat Muda menjadikan mereka semakin yakin menempuh cabaran ke depan. – HARAKAHDAILY 2/4/2018