PAS Pahang sokong saranan pemangku Raja Pahang 

SARANAN Pemangku Raja Pahang, Duli Yang Maha Mulia Tengku Abdullah Tuanku Sultan Haji Ahmad Shah agar Mahkamah Syari’ah diperkasakan setaraf dengan Mahkamah Sivil.

Advertisement

Sehubungan dengan itu kami dari PAS Pahang dengan ini menyokong penuh saranan tersebut dan pihak kami bersedia untuk sama-sama mengembelingkan tenaga untuk turut membantu dalam usaha tersebut, khususnya dari sudut memberikan penerangan.

PAS Pahang yakin saranan ini adalah kerana Tuanku mahu melihat bahawa Islam itu dimartabatkan sesuai dengan arahan Rasululllah S.A.W agar ianya mesti diletakkan di tempat yang tertinggi mengatasi yang lainnya termasukkan dari sudut perundangan.

PAS Pahang mengharapkan dan sentiasa berdoa agar saranan Tuanku ini menjadi kenyataan dalam masa yang terhampir ini, agar tertegaknya keadilan dan kebijaksanaan hukuman yang diturunkan oleh Allah S.W.T yang akan dilaksanakan melalui sistem kehakiman Mahkamah Syari’ah.

PAS Pahang yakin bumi Pahang di bawah pemerintahan Tuanku pastinya dilimpahi oleh Allah S.W.T dengan limpahan rahmat dan keberkatan apabila wahyu Ilahi ini menjadi sistem untuk mengadili manusia yang juga diciptakan oleh Allah S.W.T.

Sesungguhnya tiadalah hukuman yang paling adil melainkan hukuman yang diturunkan oleh “Allah Yang Maha Adil”, kami yakin ini keyakinan Tuanku dan juga keyakinan kami serta seluruh rakyat Negeri Pahang yang beriman Kepada-Nya.

Maka sebubungan dengan itu kami menyokong penuh saranan Tuanku agar Mahkamah Syari’ah mesti diperkasakan kerana hanya dengan cara itu sahaja hukuman Allah S.W.T ini dapat dimartabatkan.

Semoga Tuanku sentiasa di bawah lindungan Allah S.W.T dan diberikan petunjuk untuk memimpin rakyat Negeri Pahang dengan lebih baik dan sempurna, makmur dan berdaulat dipandu suluhan cahaya indah iaitu Islam yang diturunkan oleh Allah S.W.T. Allahuakbar.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang 
1 APRIL 2018 – HARAKAHDAILY 2/4/2018