Bekas pekerja ladang dapat lot rumah

TANAH MERAH: Penantian lebih 150 penduduk di Ladang Keralla di sini sejak 28 tahun lalu berakhir apabila kerajaan negeri memberi lot kediaman di kawasan seluas 38 ekar.

Advertisement

Mereka terdiri daripada penduduk Cina seramai 176 orang, Melayu (50 orang) dan India (37 orang). Mereka merupakan bekas pekerja ladang.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berharap bekas pekerja ladang dapat membina kediaman yang lebih baik di lot berkenaan di Kampung Gobek.

“Kita berusaha untuk mempercepatkan proses pengeluaran hak milik kepada rakyat.

“Kita juga harap dengan penyediaan lot-lot tanah tersebut membolehkan mereka membina rumah yang lebih baik berbanding apa yang ada sekarang,” katanya ketika merasmikan majlis penyerahan lot tanah kepada bekas pekerja ladang Kerilla dekat Gual Ipoh di sini semalam.

Turut hadir anggota-anggota Exco, Dato’ Abdul Fattah Mahmood dan Mejar (B) Dato’ Md Anizam Abd Rahman, Penyelia Dun Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustafa serta Pengarah Tanah dan Galian, Dato’ Nazran Muhammad dan Ketua Jajahan Tanah Merah, Norazman Abdul Ghani.

Kerajaan negeri membelanjakan RM1.2 juta bagi menyedia lot tersebut yang turut dilengkapi surau, taman permainan dan pasar malam. – HARAKAHDAILY 3/4/2018