Muslimat kutip dana bina semula rumah panjang

BINTULU: Ketua Muslimat PAS Negeri Sarawak, Juliani Adin telah memimpin rombongannya mengadakan kunjungan ke rumah panjang di kawasan perkampungan, di sini semalam.

Advertisement

Lawatan tersebut dalam rangka menyampaikan sumbangan khas Tabung Cakna Rumah Achau bagi menampung pembinaan semula penempatan baharu rumah panjang kaum Iban.

Rumah mereka terpaksa dirobohkan kerana berada di laluan projek Lebuh Raya Pan-Borneo, namun pampasan diberikan tidak mencukupi bagi pembinaan semula di tapak baharu.

Inisiatif Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Sarawak dan Muslimat PAS Malaysia sejak hujung tahun lalu itu berjaya mengumpulkan lebih RM4,000 dan diserah kepada Achau Mujah selaku wakil.

Hadir sama pada sesi serahan sumbangan itu adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Khairul Ismail bersama beberapa pimpinan PAS Kawasan Bintulu.

Sumbangan tersebut nyata melegakan sedikit beban ditanggung para penghuni rumah panjang itu yang rata-ratanya bekerja sendiri dan berterima kasih atas keprihatinan PAS membela mereka. -HARAKAHDAILY 3/4/2018