PAS dilabel sekongkol dengan Umno

KUALA LUMPUR: “Kononnya parti mereka memperjuangkan kebebasan bersuara dan bercakap,” ujar Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Advertisement

Katanya, apabila PAS menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Palsu, terus dilabel PAS bersekongkol dengan Umno.

Sebaliknya, ujar beliau apabila PH menyokong RUU 164 dan PAS sahaja yang membantah, tidak mengapa pula.

Beliau berkata, mereka menyokong RUU kerajaan tidak mengapa.

Tambahnya, tidak memerintah pun sudah nampak diktator, kalau memerintah nanti cuba bayangkan apa akan terjadi.

“Minta maaflah, ini PAS, tidak tunduk dengan ugutan, tohmahan dan fitnah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Tambahnya, tafsiran mereka kalau mengikut mereka benar, jika melawan mereka adalah salah.

“Insya Allah, semoga tohmahan dan fitnah kepada PAS, ia akan bertambah subur dan membiak,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, rakyat semakin cerdik dan bijak.

Beliau turut memetik kata-kata almarhum Sayyid Qutb: “Kebatilan walaupun nampak kuat, ia tidak kekal. Kebenaran walaupun nampak lemah, tetapi ia akan menang. Insya Allah”.

Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018. – HARAKAHDAILY 3/4/2018