PAS Putatan rai Hari Doktor dan Hari RTM

PUTATAN: Malaysia telah dibangunkan oleh anak bangsa yang menyumbang secara gigih profesion mereka di pelbagai sektor hingga rakyat seluruhnya menikmati kehidupan seperti hari ini.

Advertisement

Sehubungan itu, sempena Hari Doktor Sedunia pada 30 Mac lalu, serta Hari Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Ke-72 kelmarin, PAS Kawasan Putatan turut sama meraikan sambutannya.

Keraian itu dibuat dengan mengadakan kunjungan mahabbah ke Klinik Kesihatan Putatan dan Petagas serta Bangunan Kementerian Komunikasi Multimedia Sabah, di sini semalam.

Kunjungan penuh makna itu sebagai menyatakan penghargaan kepada para doktor yang dinilai menjalankan tugasan penting selepas urusan agama yakni berkaitan nyawa dan kesihatan.

Lawatan ke RTM juga bagi menzahirkan penghargaan kepada warga kerjanya atas komitmen berdiri bersama sebagai penyebar suara serta imej bangsa dan negara.

Sebagai mengerat hubungan bersama antara pihak-pihak berkenaan, PAS Putatan hadir dengan kek keraian dan menyuarakan penghargaan serta harapan kepada mereka. –HARAKAHDALY 3/4/2018