Umno-BN Kedah yang banyak tiru PAS

SIK: Kerajaan Negeri Kedah yang ditadbir Umno-BN pada hari ini hanya meniru perkara yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan PAS dahulu, demikian tegas Ketua Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.
 
Menurut beliau, urus tadbir kerajaan pimpinan PAS dahulu jauh lebih baik dari yang ada hari ini dan ianya diakui sendiri oleh pegawai-pegawai kerajaan yang berkhidmat semasa era tersebut.
 
Beliau berkata demikian dalam siri Ceramah Manifesto Gagasan Sejahtera Negeri Kedah di Kampung Teloi Tua, di sini kelmarin.
 
Lanjut beliau, antaranya ialah Skim Kafalah yang diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Razak turut dijanjikan oleh Kerajaan Umno-BN, tetapi mereka gagal untuk meneruskan skim tersebut.
 
Beliau yang juga Adun Merbau Pulas menambah, Skim Bantuan Pelajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang dilaksanakan semasa pemerintahan PAS diteruskan oleh Umno-BN tetapi mereka gagal untuk melaksanakannya.
 
Hujah beliau, semua ini berlaku kerana Kerajaan Negeri Kedah pada hari ini hanya meniru perkara yang telah dicetuskan oleh Kerajaan PAS dahulu.
 
“Ini membuktikan bahawa PAS adalah sebuah parti yang lebih layak dan lebih baik untuk menjadi pemerintah di bumi Darul Aman ini.
 
“Maka di kesempatan PRU 14 yang akan datang ini marilah kita sama-sama berjuang memenangkan semula PAS di negeri kita ini,” ujarnya.
 
Turut hadir berceramah pada program tersebut ialah Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Mudir Pondok Bandar Hilir, Ustaz Ismail Mahmud. -HARAKAHDAILY 3/4/2018
Advertisement