Usah takut kebenaran jika tidak bersalah

riduan1

PENDIRIAN PAS yang menyokong Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar di Parlimen semalam dianggap sebagai bersekongkol dengan Umno-BN. Semudah itu hukuman dilemparkan ke atas PAS hanya kerana bersetuju atau tidak bersetuju dalam sesuatu perkara. Telah menjadi lumrah dalam politik, menjatuhkan hukum berdasarkan persepsi terhadap sesuatu perkara dengan begitu mudah.

Advertisement

Apabila PAS mengambil sikap menentang Persempadanan Semula Pilihan Raya yang dibentangkan di Parlimen beberapa hari lalu, tidak sedikit pun suara mengatakan bahawa PAS menentang Umno-BN? Mengapa apabila sesuatu usul atau akta dibentang dan diluluskan bersamaan dengan pendirian Umno-BN, terus dianggap bersetuju dan bersekongkol. Apakah Pakatan Harapan (PH) hanya mahu semua parti hanya mengikut telunjuk mereka tanpa sebab atau rasional yang jelas?

PAS telah menjelaskan sebab-sebab kami menyokong RUU Antiberita Tidak benar di Parlimen. 10 sebab PAS nyatakan sokongan. Bukan atas dasar yang membentangkan itu Umno atau tidak. Malah, jika PH yang menjadi kerajaan dan membentangkan akta yang sama, jika ia baik PAS akan menyokongnya. PAS adalah parti yang mempunyai pendirian jelas. Yang baik dan dituntut oleh agama disokong. Yang salah dan bertentangan dengan agama dilawan. Garis panduan PAS adalah pada hukum dalam Islam. Bukan menyokong semberono atau menentang membabi buta.

PAS menyokong kerana beberapa sebab iaitu asas agama dan PAS menolak budaya fitnah dan pembohongan. Politik PAS yang diamalkan adalah politik realiti, buka persepsi. Kami tidak mahu budaya memfitnah, adu domba, menghasut, membohong dan menipu sebagai budaya politik. Yang PAS mahukan adalah kebenaran dan ketulusan dalam sesuatu tindakan.

Dalam soal ini, PAS bersikap tegas bahawa fitnah dan penipuan terutama dalam kempen Pilihan Raya Umum ke 14 mesti ditolak. Jika Umno memfitnah, kami tetap menentang Umno walaupun mereka yang meluluskan RUU ini. Kerana itu, RUU adalah amaran kepada media rasmi milik kerajaan yang kerap disaman dan kalah di mahkamah, agar menjadi lebih beretika, beradab dan berpinsip. Mereka perlu menjadi contoh awal bahawa media utama negara jangan cuba berani lagi berbohong dan memfitnah kepada sesiapa. Dengan itu kami membela semua pihak, sama ada PAS mahupun pembangkang yang lain. Fahami benar-benar isu ini sebelum menentang dan menolak kerana kesannya jangka panjang. Justeru dari mana datangnya PAS hanya mahu bersekongkol dengan Umno?

Sebagai parti politik, PAS tetap memerhati Kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri-negeri. Jika kerajaan negeri melakukan kepincangan, dan ada bukti yang jelas, PAS akan menentangnya walaupun ia kerajaan Umno-BN atau PH. Soal Amar Ma’aruf Nahi Mungkar adalah perkara besar yang menjadi tugas utama PAS. Tidak ada istilah melindungi kebenaran atas alasan RUU Antiberita Tidak Benar jika ia terbukti benar dan ada fakta yang lengkap. Maka, usah ditakutkan dengan RUU ini jika kita semua memperjuangkan kebenaran, berada di pihak yang benar dan menolak kebatilan kerana hanya mereka yang bersalah sahaja sukakan penipuan dan takutkan kebenaran.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 3/4/2018