Bodoh Umno tak peralat persempadanan

Subki 2

APA yang kerajaan buat dalam persempadanan baru pilihan raya pada Rabu 28 Mac yang lalu samalah seperti yang kucing lakukan bila ia menangkap tikus.

Advertisement

Tikus dalam kejadian ini adalah pembangkang dan kucingnya Umno yang masih menguasai kerajaan dan parlimen.

Memanglah tikus itu sejak kejadiannya adalah makanan bagi kucing. Setiap kali tikus ditangkap kucing, ia tidak terus makan rezekinya itu. Ia buli tikus hingga lembik. Ia tidak gigit tikus yang dikawalnya di depan matanya. Dibuatkannya sang tikus bergerak di persekitarannya.

Ketika tikus cuba lari ikut mana arah saja, kaki depan kucing akan mencecah kepala tikus menjadikan tikus tidak dapat lepas darinya. Tikus ditarik dekat kepadanya. Dibiarkannya tikus cuba melarikan diri lari. Dicekupnya lagi si tikus. Dan tikus itu dilambung-lambungnya. Begitulah diulanginya hingga akhirnya tikus itu lembik.

Apa yang kucing buat pada tikus, itulah yang Umno buat pada pembangkang.

Umno kata, ia tidak campur urusan SPR. Siapa yang percaya. Kalau batu yang kaku itu boleh berkata, batu akan kata pada Umno, ‘Tak usah lebonglah (temberang)!’

SPR yang ia tidak perdaya PRU1959 saja. Masa itu baru lepas merdeka dan Umno belum memperalatkan semua jentera kerajaan untuk kepentingannya.

Masa itu semua parti politik yang bertanding adalah wakil menentukan dasar dan hala tuju SPR. PAS selalunya diwakili oleh Hanif. Maka SPR tidak dipunyai oleh sesiapa melainkan ia bertankan pelanggan pilihan raya itu parti-parti yang bertanding. Setelah Umno bertaring dalam kerajaan, maka SPR dijadikannya seperti tikus sebelum ia jadikan pembangkang seperti tikus.

Ketika Umno berbalah dengan Tengku Razaleigh, orang penting SPR Nik Rashid Abdul Rahman, orang Kelantan. Dr. Mahahir tidak percaya pada orang Kelantan kerana kebarangkalian ia menyokong Ku Li, Nik Rashid dihumban ke kemenerian pelajaran. Bila Ku Li tidak jadi masalah lagi, Nik Rashid dipanggil menerajui semula SPR.

Umno jadikan SPR yang ada peruntukan persempadan baru setiap lepas lapan/sepuluh tahun dijadikannya alat strategi bagi menjamin kemenangan Umno-BN. Sekalipun ia cuba mendapatkan kemenangan sapu bersih di semua kawasan, ia buat apa saja tetapi ia tidak dapat buat apa bagi kawasan yang lebat pengundi Cina dan sebahagian yang tebal PAS terutama Kelantan dan kawasan tertentu Kedah dan Terengganu.

Bukan ia tidak peralatkan SPR dan persempadan baru di situ, tetapi Allah sebutkan dalam al-Quran yang bermaksud, manusia merancang dan Allah juga merancang, Maha Perancang Allah yang menentkan sesuatu.

Jika SPR kata ia tidak diperalat dan Umno kata ia tidak memperalatnya, ia adalah contoh berita palsu yang kerajaan yang Saleh Keruak rang undang-undangkan dengan apa yang dikatakan antiberita tidak benar.

Kerana PAS boleh menang di Kelantan dan DAP boleh menang di Pulau Pinang, lalu dijadikan dalih SPR tidak bekerja untuk Umno. Ini bukan alasan terbaik. Jika ia tidak boleh tipu semua, jangan tak tipu semua kerana ada tempat yang tidak dapat ditipu. Tipu sebanyak mana yang boleh asal matlamat mengekalkan kuasa itu tercapai.

Persempadanan baru sebelum ini berjaya mengekalkan kuasa Umno, dan persempadanan yang terbaru itu adalah strategi terbaik mengekalkan kuasa. Jika Putrajaya tidak jatuh bukan kerana pembangkang berpecah atau tiga penjuru tetapi Umno tidak sia-siakan persempadanan baru sebagai strategi/senjata mengekalkan kuasa.

Strategi itu adalah membuli pembangkang yang berkesan. Mahathir dan Anwar arif apa Najib buat itulah yang mereka buat dulu. – HARAKAHDAILY 4/4/2018