‘Mock Election’ tingkat siapsiaga PAS P. Pinang

BATU KAWAN: PAS Negeri Pulau Pinang memperkemaskan kesiapsiagaan teknikal pilihan rayanya apabila mengadakan simulasi ‘Mock Election’ di Pondok Turath, Juru, di sini kelmarin.
 
Latihan tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada para petugas mengenai tatacara dan segala kemungkinan berlaku semasa proses perjalanan pilihan raya.
 
Ia telah disertai oleh para petugas pilihan raya PAS Kawasan-kawasan Zon Selatan Pulau Pinang iaitu PAS Kawasan Nibong Tebal, Bukit Mertajam dan Batu Kawan.
 
Antara ‘situasi’ diberi penekanan adalah berkaitan tugas PACA, Penyelaras Status Keluar Mengundi dan Penyelaras K10 yang dianggap sebagai benteng terakhir proses pilihan raya.
 
Para peserta juga disuntik semangat dari taujihat yang disampaikan Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajudin Abu Bakar pada penutup simulasi tersebut.
 
Beliau dalam ucapannya tidak menafikan betapa ilmu diperolehi pada simulasi itu antara yang sangat penting dimiliki petugas dan lebih sukar ketika mempraktikkannya semasa pilihan raya.
 
Jelasnya, ia penuh dengan onak duri, namun cabaran itu tetap perlu dilalui untuk sampai kepada matlamat pertembungan itu hingga mencapai tujuan perjuangan.
 
Beliau juga menasihati petugas agar menjauhi pertelingkahan sesama sendiri yang boleh mengurangkan kekuatan dan memberi kelebihan kepada pihak musuh.
 
PAS Pulau Pinang dijangka akan bertanding 22 kerusi Dun termasuk calon daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS dan Parti Cinta Malaysia. -HARAKAHDAILY 4/4/2018
Advertisement