Pantai Timur maju diterajui BN, mundur bawah pembangkang?

DRAzman
KUALA LUMPUR: Skeptikal ditimbulkan pemimpin Umno kononnya negeri Pantai Timur akan terus mundur jika dimenangi parti selain BN adalah satu ‘lawak jenaka’.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim merujuk dakwaan dibuat oleh Adun Lanchang itu yang dibidasnya terlupa melihat negeri Adun itu, Pahang juga berada dalam Pantai Timur.
 
“KDNK Pahang untuk tahun 2016 berada di tangga terbawah dengan kadar 2.0 peratus dan Pahang juga negeri yang mempunyai jumlah hutang tertinggi di Malaysia.
 
“Sebuah lagi negeri Pantai Timur yang diperintah BN adalah Terengganu, kadar KDNK tahun 2016 ialah 3.1 peratus yakni kedudukan ketiga terbawah.
 
“Sedangkan KDNK Kelantan yang diperintah PAS pada kadar 4.8 peratus berada di kedudukan ketiga teratas berkongsi kedudukan dengan Selangor,” ujar beliau.
 
Dr Azman menyifatkan pemimpin Umno itu yang menyeru rakyat terus menyokong BN untuk kemajuan negeri-negeri Pantai Timur sebagai pandai membuat lawak.
 
Selain fakta tersebut, beliau turut mahu pemimpim Umno itu sedar mengenai masalah asas di Pahang yang juga negeri asal Perdana Menteri sekarang jauh ketinggalan dari Kelantan.
 
“Mana lebih kronik, masalah bekalan air antara Pahang dan Kelantan? Saya dah menetap di Kelantan sejak tahun 2000 lagi.
 
“Setakat ini tak pernah lagi tak boleh mandi. Cuba kawan-kawan orang Pahang cerita hal masalah air di negeri asal PM ini,” sinis beliau. -HARAKAHDAILY 5/4/2018
Advertisement