Pekerja asing bolot rezeki lombong Bukit Besi

Advertisement
IBARAT kata pepatah Melayu “Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Begitulah nasib yang menimpa penduduk tempatan di Bukit Besi kesal kerana tenaga kerja melombong bijih besi kini terdiri daripada pekerja asing yang disifatkan merampas peluang kerja mereka.
 
Tinjauan Harakah bersama Kumpulan Aktivis Media Independent (KAMI) dan Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Besi, Naraza Muda bagi mendapat pandangannya.
 
Beliau melahirkan rasa dukacita kerana lebih 85 peratus pekerja di empat lombong yang beroperasi itu adalah pekerja dibawa dari Bangladesh dan Indonesia.
 
Sedangkan katanya, ramai anak tempatan rakyat Terengganu yang masih lagi tidak ada pekerjaan apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup tinggi dan mencengkam kehidupan.
 
Malah kata Naraza, sehingga kerja buruh kasar dan pemandu lori juga adalah terdiri daripada kalangan pekerja asing luar negara tersebut.
 
“Sepatutnya pihak negeri (Terengganu) menguatkuasakan segera peraturan untuk tidak membenarkan tenaga pekerja asing dan pekerja biasa sepatutnya diberi kepada rakyat kitalah kecuali bahagian yang tidak ada kepakaran bagi penduduk tempatan.
 
“Itu wajarlah diberi kepada warga asing dan kita warga tempatan boleh ambil ilmu daripada mereka untuk kita jadikan orang kita berilmu selepas itu.
 
“Ini bukan sahaja mereka beri (pekerjaan) sebagai pemandu lori dan jengkaut sahaja tetapi tukang jaga (sekuriti) pun orang asing,” jelasnya ketika ditemui media semasa meninjau operasi lombong tersebut.
 
Justeru itu, beliau menggesa kerajaan agar dapat menguatkuasakan polisi penetapan jumlah pekerja asing dalam sektor berkenaan.
 
Selain itu, Naraza juga mendesak kerajaan melaksanakan janji tidak membawa hasil mentah bijih besi keluar dan mestilah diproses dalam negeri Terengganu.
 
Beliau mencadangkan hanya 20 peratus sahaja pekerja asing diambil dan para pengusaha lombong mesti mengupah 80 peratus tenaga kerja mereka dari kalangan penduduk tempatan.
 
“Tetapi (yang berlaku) seperti sekarang ini terbalik 80 peratus warga asing dan 20 peratus sahaja warga tempatan. Sewajarnya perlu dilihatlah,” ujarnya selaku Pegawai Khas Seranta (Felda) PAS Terengganu.
 
Tinjauan Harakah mendapati bandar Bukit Besi sepatutnya dapat dimajukan oleh kerajaan kerana telah lama wujud dan menjadi sumber ekonomi utama negeri sebelum penemuan Petroleum dan Gas di Terengganu.
 
Naraza yang juga Pengerusi Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) Terengganu menyifatkan Bukit Besi benar-benar jadi sejarah apabila dimaklumkan usaha menggali khazanah negeri itu tidak lagi menggunakan khidmat penduduk tempatan. 
 
“(Dahulu) Orang kita bekerja (lombong milik orang asing) dan lahir ramai pakar-pakar ilmu perlombongan tetapi kini tinggal sejarah.
 
“Aktiviti perlombongan ini berjalan hampir tiap hari dan sebenarnya kawasan ini telah ditebus guna namun masih ada lagi galian-galian berharga di sini.
 
“Selain daripada bijih timah dan bijih besi ada juga pihak mendakwa terdapat galian lain yang setakat ini kita tidak ada satu bukti saintifik, yang menyatakan ada unsur bijih timah dan juga galian yang berharga,” ujarnya.
 
Beliau mendakwa, ketika Dato’ Seri Ahmad Said menjadi Menteri Besar Terengganu (2008-2014), kerajaan telah meluluskan sembilan lesen untuk melombong tetapi sekarang hanya empat beroperasi.
 
Menurutnya, tanah seluas 2,553.2 hektar (6,309.08 ekar) di kawasan Bukit Betung, Bukit Batu Tiga, Bukit Puteri dan Bukit Besi, Mukim Jerangau, daerah Dungun yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Besul Tambahan, telah diluluskan untuk pajakan melombong bijih besi kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu pada tahun 2012.
 
Apa yang berlaku, kata beliau hasil hutan habis dikeluarkan tetapi kerja-kerja perlombongan bijih besi belum diusahakan sepenuhnya.
 
Tapi kini telah hampir dua tahun operasi pembalakan dilakukan tetapi tidak ada aktiviti perlombongan sepertimana diluluskan pihak kerajaan untuk melombong kawasan baharu sebanyak lebih dua ribu hektar.
 
“Jadi kita tertanya (tanya) juga apabila kawasan balak sudah diluluskan dan dikeluarkan tetapi kenapa kerajaan tidak mengaktifkan aktiviti perlombongan secara komersial?
 
“Sepertimana disebut oleh Dato’ Seri Ahmad Said ketika itu, kerajaan negeri akan memproses material hasil bumi di negeri Terengganu (di dalam negeri),” tegasnya.
 
Justeru katanya, pelaburan yang didakwa kerajaan negeri melibatkan wang berbilion ringgit membina kilang Eastern Steel, tetapi hari ini masih lagi tidak berlaku sepertimana yang dirancang.
 
“Sewajarnya rakyat Terengganu melihat bagaimana kepentingan industri bijih dan juga peluang pekerjaan kepada warga tempatan dan kerajaan mesti cari pelabur ambil bijih besi proses di negeri Terengganu tanpa perlu dibawa keluar negeri,” katanya.
 
Beliau benar-benar berharap agar kerajaan Umno-BN Terengganu dibawah pentadbiran Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, memantau pengeluaran hasil bumi itu supaya memberikan faedah maksima kepada rakyat dan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pemerintah. -HARAKAHDAILY 5/4/2018