Tun M tidak cetus tsunami, PH bermimpi

KETIKA Pakatan Harapan (PH) sibuk mengkagumi Tun Dr Mahathir dan mengusungnya sebagai pemimpin utama mereka dengan kepercayaan bahawa beliau akan mencetuskan Tsunami Melayu, kenyataan ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli pula membuktikan sebaliknya. Naib Presiden PKR dan pemimpin badan kaji selidik Invoke Malaysia itu berkata data yang dikumpulkan hasil penyelidikannya tidak menyokong spekulasi itu.

Advertisement

Ini bermakna, ura-ura dan keyakinan tinggi bahawa PH akan memenangi PRU ke 14 dengan mengalahkan Umno-BN hanya tinggal mimpi. Peranan Tun Dr Mahathir juga sebagai pemimpin agung mereka hanya sekadar slogan retorik pelengkap perjuangan mereka kerana yang nyata PH ketandusan pemimpin lantaran terpaksa bersandarkan kepada bekas Perdana Menteri paling lama itu. Maka ramailah pemimpin PH berangan menumpang tuah atas nama besar Tun Dr Mahathir, sehingga ada yang sanggup terjun dari bahtera perjuangan PAS kerana tidak sabar menaiki tangga Putrajaya. Walhal, reputasi Tun Dr Mahathir hanya biasa-biasa dan belum sampai ‘makam’ mencetuskan gelombang besar seperti mana Datuk Seri Anwar Ibrahim di era Reformasi 1998 dulu.

Hakikatnya ramai berpandangan bahawa Tun Dr Mahathir belum mampu mencetuskan impak kepada landskap politik negara. Walaupun beliau seorang negarawan dan bekas PM, beliau juga mempunyai banyak sisi gelap yang boleh dipertikaikan. Dengan usianya yang menjangkau 93 tahun, sudah cukup menjadi bahan ketawa dan sindiran rakyat terutama generasi muda bahawa bagaimana orang setua itu boleh menjadi Perdana Menteri. Ramai meneka selama mana beliau mampu mengemudi negara, kerana silap hari bulan SPR terpaksa pula adakan Pilihan Raya Kecil (PRK) jika berlaku apa juga kejadian tidak diingini terhadapnya.

Jika hendak dibukakan koleksi kezaliman beliau semasa era PM, banyak yang boleh dibukukan. Isunya, beliau tidak ada beza dengan Datuk Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri sekarang. Jika PM dituduh menambah kekayaan diri dan keluarga, apa kurangnya Tun. Siapa tidak kenal anak-anak dan keluarga beliau yang menjadi taikun syarikat gergasi di negara ini. Jika rasuah hendak disabitkan ke atas PM, apa lebihnya dengan bekas PM dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan rasuah ke atasnya dan pemimpin sezaman dengannya. Jika episod kezaliman dan penindasan hendak diungkit, siapa tidak kenal Tun dengan akta drakonian seperti ISA, Auku, menyekat kebebasan akhbar, kebebasan bersuara, sekatan terhadap perhimpunan aman, pembunuhan dalam tragedi Memali dan lain-lain lagi. Malah Tun Dr Mahathir dianggap sebagai bapa pembunuh demokrasi di negara ini.

Dalam kongkongan terhadap agensi kerajaan, Tun Dr Mahathir jugalah rajanya. Beliau yang menyekat kuasa Raja-raja Melayu, mencengkam agensi penting seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan lain-lain lagi. Bagi memastikan beliau terus memenangi pilihan raya pelbagai strategi licik digunakan termasuk merahsiakan tarikh pilihan raya, berkempen menggunakan agensi kerajaan, gerry mandering (persempadanan) mengikut kehendak hati, ugutan kepada penjawat awam, skandal pengeluaran kad pengenalan dan lain-lain.

Pendek kata, PM sekarang adalah cerminan kepada bekas PM dahulu. Malah, PM sekarang adalah ‘copy paste’ apa yang dilakukannya sekarang. Justeru, mustahil bagi rakyat melupakan semua kebejatan yang telah dilakukannya. Tidak timbul bagi rakyat yang peka dan terbuka minda mereka untuk memberi sokongan kepada PH pimpinan Tun apatah lagi memberikan Tsunami Melayu kepada PH kali ini.

Saya meyakini PRU ke 14 ini adalah medan terbuka luas buat semua parti bersaing merebut tempat kemenangan. Peranan PAS dan Gagasan Sejahtera begitu signifikan dan PAS membuat keputusan tepat pada masanya sebagai pilihan kepada pengundi. Dalam situasi mutakhir ini kami semakin yakin, gelombang Tsunami itu bergerak ke arah kami dengan sokongan tidak putus dari masyarakat terhadap perjuangan PAS. InsyaAllah, PAS akan memimpin negara selepas ini.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat – HARAKAHDAILY 5/4/2018