Bahan fitnah makanan kesukaan ramai

mohd nor

ADA manusia iman dia bertambah, ada hari ia lemah. Al-Quran telah mendedahkan bahawa begitulah sikap manusia. Kita tidak mampu sentiasa meninggikannya. Oleh itu, kita mesti sentiasa berdoa agar jika lemah sekalipun iman kita, kita mohon bersungguh-sungguh kepada Allah tidak dicabut iman kita. Kita tidaklah melakukan dosa kecuali dalam keadaan kita tidak beriman ketika melakukannya.

Advertisement

Ayat muhkamat adalah ayat yang jelas tentang hukum dan penafsirannya. Ayat-ayat seperti wajib solat, puasa dan sebagainya mesti kita fahami secara total. Manakala ayat mutasyabihat pula ialah ayat-ayat yang terlalu luas penafsirannya. Contoh ayat ‘tangan’ Allah. Ramai yang menafsirkan tangan Allah itu sebagai kuasa Allah kerana tidak mahu menjisimkan Allah. Tidak kurang yang menafsirkan tangan Allah adalah tangan, tetapi tangan yang selayaknya dengan kemuliaan Allah. Isu ini jika ia tidak ditangani dengan betul, akan menimbulkan perbalahan yang serius. Anda telahpun melihatnya sekarang.

Yang penting, ayat-ayat mutasyabihat ini wajib kita imani dengan keyakinan yang hakiki tanpa menggelincirkan iman kita. Kita tidak mampu mentakwilkan ayat ini dengan benar, maka beriman dengan ayat ini adalah sikap orang yang beriman yang betul. Apa sahaja hal yang disebutkan Allah di dalam al-Quran, maka kita imani. Kita menjauhkan diri dari perbalahan yang tidak berpenghujung dan merugikan.

Kullu min indillah, semuanya datang dari Allah. Inilah tindakan muktamad orang beriman. Mereka tidak mementingkan penafsiran yang terlalu banyak terapi mereka menyibukkan diri, beriman dengan segala yang datang dari Allah. Ketundukan kita ini insya Allah akan memberikan kekuatan iman. Lihat iblis, hanya kerana tidak mahu sujud kepada Adam atas arahan Allah, iblis menjadi kufur. Dia mempunyai ilmu dan ibadat yang sangat banyak. Bagaimana pula jaminan atas kita yang kita akan selamat. Berapa ramai orang yang kita lihat mereka gagal ketika sudah tua dan hampir mati. Hati kita ini sangat longgar. Senang cenderung kepada maksiat. Fitnah, penipuan, kesesatan, boleh menggugat keimanan kita.

Tetapi hati kita jika diikat dengan al-Quran dan sunnah, maka insya Allah dengan ditambah keikhlasan kita, iman kita akan teguh. Contoh bagaimana menangani fitnah yang disebarkan. Surah al Hujurat dengan jelas menyuruh kita bertabayyun dengan berita yang dibawakan oleh orang fasik. Rasulullah SAW pula berpesan, cukuplah seorang itu digelar pembohong dengan dia menyebarkan semua cerita yang dia dengar (sama ada berita betul atau tidak). Jelas ini ada petunjuknya. Tetapi bahan fitnah adalah makanan kesukaan ramai. Akhirnya yang difitnah disoal dan pemfitnah terlepas lari. Doa Rasulullah SAW yang sering dibacakan baginda ialah Ya Muqallibal Qulub, Tsabit Kulu Buna Aladdinik – Wahai tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hati kami dalam agamamu

Mudah-mudahan hati dan iman kita sentiasa terpelihara daripada kegelinciran. Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 6/4/2018

Petikan kuliah Subuh di Surau Kampung Undang, Marang pada Jumaat, 6 April 2018.