Parlimen bubar esok

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen bermula esok, 7 April bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Advertisement

Beliau memaklumkan demikian pada siaran Pengumuman Khas Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, Presint 1, di sini, sebentar tadi yang disiarkan secara langsung di RTM1.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri Kabinet.

Beliau memaklumkan telah mengadap Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad ke-V dan menyembah watikah memohon perkenan supaya Parlimen ke-13 dibubar esok.

“Saya ingin memaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa, saya telah pun menghadap KeBawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V, dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-13 dibubarkan pada hari Sabtu, 7 April 2018.

“Sehubungan dengan itu, selaras dengan peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-13 dibubarkan berkuat kuasa pada hari Sabtu 7 April 2018,” katanya.

Justeru, beliau menasihati ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan, untuk menghadap Ketua-Ketua Negeri mereka, bagi mendapatkan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing, supaya Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 6/4/2018