Parti suruh bertanding, saya bertanding – TG Abdul Hadi

MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan mengikut arahan parti di mana akan bertanding pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Advertisement

“Insya allah, saya ikut arahan parti, parti suruh di mana bertanding saya akan bertanding. Asal tempat yang ada orang,” katanya berseloroh kepada media selepas solat Jumaat, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang ditanya adakah akan bertanding di kedua-dua kerusi itu.

Mengenai anak beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil sama ada bertanding pada PRU14, beliau menyerahkan urusan itu kepada parti.

“Itu saya serah kepada keputusan parti, kalau parti buat keputusan bertanding kena bertandinglah,” katanya lagi.

Tengah hari tadi, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran parlimen bermula esok.

Sehubungan itu, beliau menasihati ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan, untuk menghadap Ketua-Ketua Negeri mereka, bagi mendapatkan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing, supaya Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 6/4/2018