RUU355; PAS menang atau kalah?

PADA tahun 1968, berlangsung satu Debat Kebudayaan antara Lim Kit Siang bersama dua wakil DAP dengan Syed Naquib al-Attas mewakili Gerakan. Debat tersebut berkisar tentang tajuk Malaysian Malaysia yang dibawa DAP.

Advertisement

Atas kapasiti sebagai pensyarah, Syed Naquib lebih petah dan menguasai suasana debat tersebut dengan hujahan bernas dan kukuh. Sebaliknya DAP kelihatan gugup dan gagal menjawab persoalan yang dilemparkan lawan.

Berdasarkan hujah, debat tersebut dimenangi oleh Gerakan. Tetapi DAP berjaya menang beberapa siri pilihan raya selepas itu. Ramai pemerhati politik mengatakan, DAP kalah debat tetapi memenangi hati rakyat.

Itulah politik Malaysia. Menang dalam persaingan antara parti politik di luar pilihan raya, tidak semestinya menjadi kayu ukur menang dalam pilihan raya. Bahkan kekalahan itu mungkin menjadi penyebab sokongan bertambah ke atas mereka.

Tipikal rakyat Malaysia kurang menilai berasaskan hujah. Mereka lebih kuat dipengaruhi sentimen emosi. Secara lebih tepat, simpati orang Malaysia sangat tinggi. Sebab itu jangan bantai mana-mana pihak terlalu kuat, bimbang overkill lalu mengundang simpati pula kepada mereka.

Berkenaan RUU355, ramai mengatakan PAS telah kalah dalam usaha mereka membawa isu tersebut. Bermula daripada usul persendirian yang beberapa kali tidak diberikan laluan oleh Parlimen, hingga tiba saatnya dibenarkan, tiba-tiba ditangguh pula kerana terdapat saman di mahkamah. Selepas itu, Umno memberi komitmen akan membawa sendiri RUU355, tetapi dibatalkan selepas konsensus gagal dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN. Perkembangan seterusnya, usul tersebut dipinda pula selepas ramai mengkritik.

Sehingga kini, RUU355 berjaya dibentangkan kali pertama dengan pindaan baru namun masih belum berpeluang untuk dibahaskan dan diundi. Speaker berpendapat ia tertakluk kuasa pihak kerajaan, dan YB Marang selaku pembawa usul telah menjalankan tugas mengikut bidang kuasa dengan sepenuhnya.

Ramailah mengatakan PAS telah ditipu oleh kerajaan. RUU355 hanya gimik politik untuk menunjukkan mereka juga pedulikan perihal agama. Namun hakikatnya, mereka tetap takut untuk berhadapan ugutan sekutu politik daripada kalangan bukan Islam.

Tetapi tiada siapa dapat menafikan kejujuran dan usaha PAS yang tidak putus-putus dalam memperjuangkan RUU355. Malah PAS tidak bersendirian. Banyak agensi dan autoriti kerajaan seperti JAKIM, para Mufti dan tokoh kerajaan, juga NGO-NGO Islam yang terlalu banyak untuk disebutkan bersama aspirasi PAS ini.

Mungkin benar PAS telah kalah dalam usaha memastikan Akta 355 dipinda buat masa ini, tetapi belum tentu PAS akan kehilangan sokongan massa. Sehingga sekarang, sokongan terhadap PAS semakin meningkat dan naik mendadak sejak mula memperjuangkan isu ini. Banyak NGO dan autoritian negara mula mendekati PAS. Malah mereka kagum dengan ketegasan PAS yang sanggup memutuskan hubungan dengan DAP dan menyaksikan Pakatan Rakyat berkubur hanya kerana ini.

Pihak yang sering mengatakan PAS telah ditipu ataupun mempergunakan agama untuk politik, mungkin gembira dengan perkembangan RUU355 hari ini. Tetapi itu tidak bermakna rakyat akan menyokong mereka. Mereka perlu belajar daripada politik Lim Kit Siang 1968 dahulu. Mereka juga perlu mengimbau kembali nasib Syed Naquib al-Attas.

Walau bagaimanapun, matlamat PAS dalam membawa isu ini tidak lain hanyalah menjalankan tanggungjawab agama sahaja. RUU355 adalah laluan bagi PAS melaksanakan sebahagian dari Undang-undang Islam yang diperintahkan oleh Allah S.W.T terutama melibatkan masalah jenayah. Ia juga salah satu bentuk dakwah bil hal agar masyarakat melihat keindahan Undang-undang Islam dalam menangani jenayah. Redha Allah menjadi cita-cita tertinggi. Soal sokongan rakyat berada di tempat kedua.

Pada awal PAS bertekad membawa isu ini, ia ditentang ramai pihak terutama rakan dalam Pakatan. Walaupun mereka sebelum ini bersetuju PAS boleh memperjuangkan agenda mereka sendirian, tetapi ia berubah setelah merasakan lebih berkuasa dari PAS. PAS hilang sokongan rakan politik

Namun Allah segera ganti dengan sokongan dari pihak lain pula. Selain pihak kerajaan, pihak-pihak lain turut menyatakan solidariti. Malah yang sebelum ini musuh kembali menjadi kawan. Lebih menggembirakan, sokongan yang diterima lebih besar dari sebelum ini, sehingga berjaya menambat hati golongan yang tidak berpolitik dan atas pagar. Malah golongan bukan Muslim turut ada yang bersimpati.

Semua sokongan yang diterima ini menepati sabda Rasulullah S.A.W:

مَنِ الْتَمَسَ رِضَى اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ، رَضِيَ الله عَنْهُ، وَأَرْضَى النَّاسَ عَنْهُ ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ، سَخَطَ اللَّهُ عَلَيْهِ، وَأَسْخَطَ عليه الناس

“Barangsiapa mencari redha Allah dengan menanggung kemurkaan manusia, maka Allah meredhainya dan manusia akhirnya akan redha kepadanya. Barangsiapa pula yang mencari keredhaan manusia dengan menanggung kemurkaan Allah, maka Allah memurkainya, dan manusia kelak akan memurkainya jua.”

[HR Ibn Hibban]

20 Rejab 1439
6 April 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 6/4/2018