Markas Induk PAS Parlimen Kemaman dilancar

KEMAMAN: Markas Induk PAS P.040 Parlimen Kemaman telah dirasmikan pelancarannya oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik di perkarangan Pejabat PAS Kawasan Kemaman, di sini kelmarin.
 
Pada majlis sama juga, Ustaz Mokhtar merasmikan Studio IT PAS Kemaman iaitu ITV Channel (ITVC) yang bakal digunakan untuk sidang media, ucapan pimpinan dan soal jawab menjelang PRU14.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Yahya Ali berkata, PRU kali ini merupakan satu keselesaan bagi kita (PAS) dari sudut persiapan, kerana telah turun kerja lebih awal dan bersedia menghadapi dengan penuh kekuatan dan pengharapan kepada Allah.
 
“Seterusnya adalah, kita (PAS) turun sampaikan maklumat, berbincang dengan baik kenapa rakyat perlu menyokong perjuangan PAS,” ujarnya.
 
Sementara itu, Ustaz Mokhtar dalam ucapannya berkata, walaupun PAS berhadapan dengan fitnah dari pihak lawan, gelombang pertambahan ahli PAS terus meningkat.
 
“Kita (PAS) tegaskan, kita tetap tidak akan bersama mereka (PH) dan tidak akan bersama Barisan Nasional,” ujarnya.
 
Turut hadir, Bendahari Dewan Himpunan Penyokong Pas Pusat, Kong Tuck Wah, Yang Dipertua dan Timbalan Yang DiPertua PAS Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid dan Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek serta Adun Chukai, Hanafiah Mat.
 
Markas tersebut akan dijadikan Bilik Gerakan dan Operasi PAS Kemaman untuk mendepani PRU14 yang bakal diadakan pada bila-bila masa. -HARAKAHDAILY 7/4/2018
Advertisement