Jaringan keluar notis sekat laluan – penghulu

GUA MUSANG: Ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke14 menunggu detik dan ketika, penduduk Orang Asli di pedalaman pula berdepan kesukaran untuk keluar bekerja.

Advertisement

Jumat AbakPenghulu Dun Nenggiri, Jumat Abak berkata, kumpulan Orang Asli yang dipercayai didalangi Jaringan memberitahu akan menutup laluan ke Tohoi.
Katanya, notis mengenai perkara itu diedar kumpulan terbabit bertarikh 4 April 2018.

“Jaringan mengawal ‘kubu blockade’ jalan ke Pos Tohoi dan akan menutup terus serta menghalang semua kenderaan masuk ke Tohoi.

“Mana-mana kenderaan awam yang melalui kawasan itu akan disoal siasat. Saya dimaklumkan penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan mereka yang mahu melalui kawasan itu perlu menulis nama dan tujuan masuk,” katanya di sini.

Mulai pertengahan Februari lepas sekumpulan Orang Asli yang didalangi Jaringan mendirikan sekatan laluan di Chawas, Tohoi dan Kuala Wok.

Pada akhir 2016 polis menahan 47 Orang Asli kerana enggan merobohkan sekatan laluan lori balak yang dibina Simpang Petei dan Kampung Peralong, Pos Bihai.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 32, Seksyen 47 dan Seksyen 81 Enakmen Perhutanan Negara 1984 kerana menduduki dan memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran.

Oleh itu Jumat berharap pihak berkuasa bertindak segera kerana tindakan menyekat laluan lori balak menyusahkan masyarakat Orang Asli. – HARAKAHDAILY 8/4/2018