Kampung Baru tradisi yang perlu dipertahankan

TITIWANGSA: Pembangunan seharusnya menjadikan penduduk sebagai elemen utama dan ianya dinikmati, bukannya memangsakan dan mengerah pindah dari penempatannya.

Advertisement

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad menegaskan demikian ketika menyatakan pandangan terhadap rancangan memajukan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Menurutnya, Kampung Baru adalah penempatan tradisi di tengah-tengah ibu kota, namun suatu hari nanti ianya mahu dimajukan dengan bangunan pencakar langit.

“Penduduk wajar mendapat manfaat dari pembangunan dihasilkan dan bukan hanya memandang dari jauh,” ujarnya pada ceramah di PASTI Al-Fatih, di sini semalam.

Manakala Ketua dan Naib Ketua Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Md Ali Jamil dan Ustaz Abdul Hadi Abdul Halim dalam ceramah mereka menggariskan tawaran-tawaran PAS.

Manifesto tersebut dibentang dan dikupas mereka kepada hadirin yang kelihatan berpuas hati dengan tawaran berkenaan.

Turut diadakan sempena ceramah tersebut adalah jualan murah melalui gerai-gerai yang dibuka sempenanya. – HARAKAHDAILY 8/4/2018