Sistem sekular BN punca masalah negara, rakyat

SETIAWANGSA: Masalah berat dialami negara dan rakyat pada aspek agama, sosial dan ekonomi bukanlah disebab salah tadbir individu dan parti politik, tetapi juga sistem pemerintahannya.

Advertisement

Ketua Pemuda PAS Kawasan Setiawangsa, Ustaz Ubaid Abd Akla berkata, pentadbiran Kerajaan Umno-BN yang berteras sekular telah menyebabkan penindasan dan kerosakan.

Perkara itu menurutnya, semakin parah sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan ianya berlanjutan hingga kini yang menuntut perubahan menyeluruh dan bukan kosmetik semata.

“Demokrasi pilihan raya ini membenarkan rakyat sebagai hakim menentu sistem pemerintahan negara. Oleh demikian, para pengundi dirayu memberi peluang kepada PAS dengan dasar Islam yang membawa keselamatan dan kesejahteraan.

“Sekiranya diberi mandat, PAS akan memansuhkan hutang tertunggak pinjaman PTPTN dan akan menstrukturkan semula PTPTN ke arah memberi pendidikan percuma,” serunya pada Ceramah Kelompok 7.0 di Restoran Sany Char Koay Teow, Medan Selera Tasik Titiwangsa, di sini semalam.

Turut berucap pada majlis itu adalah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad dan Yang DiPertua PAS Setiawangsa, Abd Halim Hassan dan Yang DiPertua PAS Titiwangsa, Khairul Anuar Abd Manaf. – HARAKAHDAILY 8/4/2018