BN tahu rakyat gagal dipujuk dengan Bajet 2018

tuan ibr

BAJET 2018 tidak lain tidak bukan adalah untuk menawan hati rakyat agar kepercayaan harus diberi semula kepada BN pada PRU14 nanti.

Advertisement

Meskipun Bajet 2018 sebanyak RM280.25 bilion ialah bajet termewah dalam sejarah kerajaan BN, kerajaan BN masih meminta peruntukan tambahan sebanyak RM7 bilion pada 19 Mac lalu, ketika Bajet 2018 baru dilaksanakan 78 hari. Tindakan ini membuktikan kerajaan BN lemah dalam merancang perbelanjaannya.

Bukan itu sahaja, pelancaran manifesto BN yang menjanjikan langit dan bintang baru-baru ini membuktikan bahawa BN secara tidak langsung mengakui bajet termewah dalam sejarah kerajaan BN – Bajet 2018 tidak dapat membendung keinginan rakyat untuk membuangnya pada PRU14.

Manifesto BN juga adalah satu pengakuan bahawa mereka sudah dapat merasai denyut rakyat yang semakin menolak mereka. Oleh itu rakyat perlu ‘dibeli’ dengan pelbagai ganjaran dan hadiah yang tidak terkandung di dalam bajet termewah Bajet 2018.

Berapakah peruntukan yang diperlukan untuk menampung manifesto BN sekiranya ia menang lagi, dan berapa lagi peruntukan tambahan yang bakal diminta BN ke atas bajet termewah 2018 untuk menunaikan janji-janjinya?

Rakyat tidak harus mengambil risiko dengan janji-janji manis BN ini. Dengan GST sebagai senjata di dalam tangan BN yang bertegas meneruskan pelaksanaannya jika menang di PRU14, dan pendapatan negara yang semakin merosot, percayalah rakyat akan dijadikan mangsa pertama untuk menampung peruntukan berlebihan ini.

Pendek kata, kedua-dua tawaran BN dan Pakatan Harapan bersifat populis tanpa menawarkan solusi untuk meningkatkan pendapatan negara bagi menampung janji-janji manis mereka.

Ini berbeza dengan manifesto PAS dan Gagasan Sejahtera yang menawarkan solusi untuk menampung tawaran memansuhkan GST, menghapuskan PTPTN, pendidikan serta perubatan percuma dan sebagainya dengan sistem percukaian lebih adil seperti cukai atas simpanan korporat dan cukai saham di Bursa Saham Malaysia.

Semua ini hanya boleh dilakukan dengan pimpinan tulus ikhlas dan bebas rasuah. Undilah PAS untuk Malaysia yang lebih sejahtera dan kami telah membuktikan bahawa komitmen kami untuk terus bebas daripada rasuah berbanding BN dan PH.

Ini terbukti apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Paul Low berkata tiada pemimpin PAS yang disiasat atas kes rasuah daripada jumlah 92 pemimpin politik yang sedang disiasat SPRM di mana 71 terdiri daripada pemimpin BN manakala baki 21 adalah pemimpin PH.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
9 April 2018 – HARAKAHDAILY 9/4/2018