Fitnah, bohong strategi musuh burukkan imej PAS

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan bahawa tuduhan menerima RM90 juta daripada Umno adalah pembohongan semata-mata

Advertisement

“Kita akan disajikan dengan fitnah-fitnah dan berita- berita yang diada-adakan daripada dulu sampai sekarang,” kata beliau semasa slot temuramah bersama SWA TV, malam tadi.

“Dari dulu kita lihat, audionya keluar, videonya keluar hatta dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim, video gambar manusia bergerak, berjalan, itu dijadikan sebagai bahan kempen pilihan raya,” ujarnya.

Beliau menegaskan PAS pada waktu itu konsisten mempertahanlan bahawa bukti yang sedemikian rupa adalah tidak diterima oleh syarak yang tidak boleh dijadikan hujah benar atau tidak sesuatu kes itu berlaku.

Tambah beliau, PAS konsisten dengan pendirian bahawa perkara-perkara sebegitu adalah diada-adakan oleh pihak lawan dengan tujuan memberi suatu imej yang jijik dan kotor kepada PAS.

Apatah lagi, tambahnya musuh menganggap kehadiran PAS di dalam pilihan raya kali ini sebagai pengacau.

Beliau berkata, pihak lawan bertindak demikian kerana merasakan bahawa PAS akan mengganggu mereka untuk mencapai kemenangan.

Maka, menurut Dr Ahmad Samsuri musuh menimbulkan fitnah-fitnah sedemikian dengan bertujuan untuk membina persepsi awam supaya rakyat akan menolak PAS

“Saya percaya pada kali ini dengan adanya maklumat yang kita jawab di media-media sosial dan media lain bahawa semua ini adalah fitnah dan pembohongan,” tegasnya.

Beliau juga percaya rakyat akan mampu membuat pertimbangan mereka bahawa semua itu adalah politik kotor yang sewajarnya ditolak oleh pengundi. – HARAKAHDAILY 10/4/2018