Manifesto Gagasan selesai himpitan ekonomi rakyat

BANDAR TUN RAZAK: Menerusi Manifesto Gagasan Sejahtera, negara dan rakyat ditawarkan penyelesaian terhadap isu yang membelenggu kehidupan mereka, namun kekal memacu pembangunan.
 
Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam menyenaraikan, antaranya tawaran pendidikan percuma termasuk melupuskan hutang Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
 
Perkara itu dinyatakannya pada sesi Sembang Santai Teh Tarik di Restoran Rizkhan, Taman Tenaga, di sini kelmarin.
 
Jelas beliau, PTPTN sepatutnya menjadi bantuan kepada mereka yang memerlukan yakni penuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan kutipan hutang PTPTN juga tidak harus menjadi pendapatan negara.
 
Kerana itulah Gagasan Sejahtera ujarnya, akan melupuskan hutang PTPTN dan sekali gus menawarkan pendidikan percuma bagi penuntut ke IPT.
 
Begitu juga terang beliau, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang memberi pendapatan lebih RM32 bilion kepada negara, tetapi ianya membebankan setiap lapisan rakyat, maka komitmen Gagasan adalah memansuhkannya.
 
Sebaliknya jelas beliau, GST akan diganti cukai kepada golongan kaya yakni korporat dan transaksi saham yang akan menjana pendapatan lebih banyak iaitu RM52 bilion sebagai alternatif.
 
Tidak ketinggalan maklumnya, Manifesto Gagasan turut menawarkan untuk wanita antaranya bantuan RM2,000 bagi memulakan kerja dari rumah bagi membolehkan mereka memberi perhatian kepada keluarga.
 
Terangnya, hal itu kerana Gagasan memandang serius masalah meruncing masyarakat hari ini antaranya berpunca daripada ibu bapa yang sibuk bekerja hingga mengabai anak-anak. -HARAKAHDAILY 9/4/2018
Advertisement