PAN penakut nyatakan kebenaran Islam

BATU PAHAT: PAS menyifatkan PAN sebagai penakut apabila tidak berani berbicara mengenai Islam dan memilih untuk ke Putrajaya terlebih dahulu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, dapat dilihat bahawa pemimpin PAN hanya banyak membicarakan berkaitan ketakutan orang bukan Islam memilih syariat Islam.

“Dimaklumkan di Acheh bahawa orang bukan Islam diberi pilih sama ada disebat guna undang-undang Islam atau guna hukum sivil. Tiba-tiba orang Cina bukan Islam di Acheh pilih undang-undang Islam.

“Yang PAN ni pulak tak berani bercakap Islam, lenyapkan Islam itu, menang pilihan raya dulu,” kata Tuan Guru Abdul Hadi semasa ceramah Gempur Johor Bersama Presiden PAS di sini, malam tadi. 

Turut berucap pada majlis itu adalah Ketua Dewan Ulamak PAS, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed dan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin. 

Jelas beliau, atas sebab tersebutlah PAS tidak menyertai Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga menegaskan Barisan Nasional dan PH tidak berani untuk menyatakan bahawa Perdana Menteri mesti daripada Islam dan tidak terdapat fasal tersebut dalam Perlembagaan Negara.

Beliau menyebutkan bahawa Islam agama yang adil sebagaimana contoh sudah ada di Kelantan dan Terengganu ketika PAS memerintah.

Katanya lagi, orang bukan Islam diberikan tanah dan bantuan oleh kerajaan di bawah pemerintahan PAS.

“Seorang Menteri MCA (berasal) daripada Kelantan pernah mengaku Kerajaan PAS zaman Dato’ Asri Muda beri biasiswa kepada dia,” ujar beliau lagi. HARAKAHDAILY 9/4/2018