DAP dalang perpecahan PR

KUALA LUMPUR: DAP didakwa menjadi punca kepada pecahnya muafakat dalam Pakatan Rakyat (PR) pasca Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Advertisement

“PAS (ketika itu) bersama dengan permuafakatan politik Pakatan Rakyat dalam suatu aspek yang kita namakan sebagai tahalluf siyasi atau kerjasama politik yang bagi PAS memiliki syarat-syarat tertentu,” ujar Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu wawancara bersama SWA TV malam tadi.

Menurut beliau, berlaku pelanggaran terhadap syarat-syarat dalaman terhadap sesuatu permuafakatan politik antaranya adalah gangguan terhadap kepimpinan yang cuba dilakukan oleh parti di luar daripada PAS dalam Pakatan Rakyat seperti mengganggu pemilihan semasa Muktamar Tahunan PAS.

Beliau juga menyatakan antara yang keras penentangan terhadap Islam adalah mendiang Karpal Singh.

“Mendiang Karpal pernah terkenal dengan kenyataannya ‘Langkah mayat aku dahulu sebelum laksana Islam,” katanya memetik kenyataan mendiang Karpal suatu masa lalu.

Tambahnya lagi, antara aspek menjadi punca perpecahan adalah sikap rakan-rakan dalam PR yang keras terhadap Islam terutamanya DAP.

Kata beliau, DAP mengganggu pelaksanaan aspek-aspek keislaman yang ingin dibuat oleh Kelantan yang diterajui PAS.

“Dari masa ke semasa, tidak selesai dengan perbincangan, apabila Kelantan ingin melaksanakan enakmen-enakmen tertentu dan peraturan-peraturan tertentu di peringkat PBT, orang yang pertama menentang adalah DAP.

“Itu dalam keadaan kita memiliki kerjasama di dalam Pakatan Rakyat. Jadi aspek setuju untuk tidak bersetuju tidak berlaku pada masa itu,” ujar beliau menerangkan hubungan antara PAS dan DAP ketika bersama di dalam Pakatan Rakyat.

Beliau menegaskan, pihak yang sebenarnya memutuskan hubungan dalam PR bukanlah PAS.

Sebaliknya, ujar beliau DAP menjadi dalang di mana jika disoroti kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media pada 4 Mac 2015 yang menyebut bahawa DAP bersama Pakatan Rakyat menolak Presiden PAS.

“Dato’ Seri Abdul Hadi Awang adalah Presiden PAS, bagaimana mungkin dalam masih ada kerjasama politik mereka membuat suatu kenyataan dan kenyataan ini dibuat dua bulan sebelum Muktamar Tahunan PAS pada 2015.

“DAP bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat tapi tidak dengan Presiden PAS, satu perkara yang sangat pelik.

“Ini dengan sendirinya menunjukkan suatu gambaran cubaan mempengaruhi muktamar PAS,” ujar beliau

Beliau berkata, ia ditambah dengan peristiwa calon PAS yang diminta bertanding atas tiket PKR dan diminta untuk keluar PAS setelah bertanding yang terjadi pada PRU13 lalu. – HARAKAHDAILY 10/4/2018