Lebih 200 penyokong Umno sedia undi PAS

serah

KOTA BHARU: Mantan Ahli Jawatankuasa Umno Tanah Merah, Che Mood Che Mamat yang mengetuai seramai 60 ahli Umno menyertai PAS beramai-ramai hari ini.

Advertisement

Malah kata beliau, lebih 200 penyokong Umno sudah menyatakan kesediaan mereka untuk mengundi PAS pada Pilihan Raya Umum ini.

“Yang hadir pada hari ini 60 orang tetapi di Gual Ipoh ada 200 lebih tetapi saya tidak bawa semua, nama-nama mereka ada pada saya.

“Kami menyertai PAS secara sukarela kerana bosan dengan penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya kerajaan BN hari ini,” katanya.

Langkah Che Mood itu disambut bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Tanah Merah, Yakezan Ibrahim, 54, apabila turut menyertai PAS.

Menurutnya, hasrat untuk menyertai PAS sudah lama selepas ramai kawan dan sahabat terdekat turut berbuat demikian menyertai PAS.

Che Mood menyerah borang menyertai PAS kepada Yang Dipertua PAS Tanah Merah, Dato’ Abdul Fattah Mahmood. Hadir sama Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Agung, Dato’ Takiyuddin Hassan dan Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi. – HARAKAHDAILY 10/4/2018