PAS Melaka tanding 23 Dun, lima Parlimen

BUKIT KATIL: PAS Melaka akan bertanding lima kerusi Parlimen dan 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri ini pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan demikian semasa sidang media selepas program Pelancaran Manifesto PAS Melaka di Dewan Mualim di sini, malam tadi.

Beliau yurut menjelaskan kemungkinan kerusi-kerusi lain akan ditandingi oleh rakan-rakan parti dalam Gagasan Sejahtera setelah ditimbang keperluannya.

Katanya, PAS biasa bertanding tiga atau empat penjuru dan boleh menang kerana akar umbi setia kepada parti sejak dulu.

“Kalau berlaku banyak penjuru, biasanya parti lain yang menerima kesan yang negatif.

“Tunggu nanti penamaan calon,” jawab beliau kepada soalan Dun mana menjadi tambahan kepada PAS Melaka yang bertanding 22 kerusi pada PRU13 yang lalu.

Beliau juga menegaskan PAS telahpun memilih calon bagi setiap kerusi yang akan diumumkan dalam Majlis Pegumuman Calon pada 19 April ini.

“Itu ikut keputusan parti, kalau mahu saya satu cukuplah kerana saya dah lama jadi wakil rakyat hampir 40 tahun, lama sangat,” jawab beliau kepada pertanyaan berkaitan sama ada beliau bakal bertanding dua kerusi pada PRU14.

Beliau turut memaklumkan terdapat lebih 50 peratus calon muda yang bakal mewakili PAS termasuk calon bukan Islam dan calon wanita. – HARAKAHDAILY 10/4/2018